Malaysia Kecam Israel Tubuh Panel Siasat Serangan Sendiri Ke Atas Freedom Flotilla

Diterbitkan: Isnin, 19 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam tindakan rejim Zionis Israel menubuhkan panel siasatan bagi menyiasat serangan 'mereka sendiri' atas konvoi bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla di kawasan perairan antarabangsa pada 31 Mei lepas.

"Tindakan Rejim Israel itu adalah tidak wajar memandangkan Israel merupakan pihak yang terlibat dalam insiden serangan tersebut dan tidak berkemungkinan akan membuat siasatan yang telus dan tidak berpihak," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan usul khas di Dewan Negara bagi mengutuk kekejaman Israel.

"Tindakan ini juga menunjukkan sikap angkuh Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel) yang menolak kerjasama daripada masyarakat antarabangsa dalam menubuhkan satu badan siasatan bagi menyiasat serangan tersebut," kata Muhyiddin.

Beliau berkata, tindakan itu bertentangan dengan gesaan masyarakat antarabangsa yang mahukan satu badan siasatan antarabangsa yang bebas dan tidak berpihak ditubuhkan bagi menyiasat serangan berkenaan.

Usul yang mengandungi 14 ketetapan itu, juga menyokong sepenuhnya penubuhan panel penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri New Zealand, Sir Geoffrey Palmer dan terdiri daripada wakil-wakil Amerika Syarikat, Israel, Turki dan PBB.

Muhyiddin berkata, Malaysia akan terus menuntut supaya Israel mematuhi Resolusi 1860 Majlis Keselamatan PBB supaya membuka laluan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Dalam hal ini, Muhyiddin berkata, Malaysia akan terus menyeru kerajaan Mesir supaya membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan melalui pintu sempadan Rafah.

"Perdana Menteri telah mengutuskan surat kepada presiden Mesir memohon kerjasama negara berkenaan membuka tanpa syarat pintu sempadan di Rafah bagi penyaluran berterusan bantuan kemanusiaan ke Gaza," katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya meneruskan usaha dan tekanan terhadap Israel bagi menamatkan kepungan dan sekatan tersebut demi mengakhiri penderitaan masyarakat Palestin di Gaza.

Katanya, sekiranya sekatan atas Gaza tidak ditamatkan serta merta, Malaysia bimbang krisis kekurangan bekalan air bersih, makanan berzat dan ubat-ubatan di wilayah itu akan bertukar menjadi krisis kemanusiaan yang parah.

Timbalan Perdana Menteri turut menekankan bahawa kezaliman ini akan berterusan dan mungkin tiada hentinya sekiranya masyarakat dunia terus berpeluk tubuh, membisu dan berdiam diri sekaligus menyebabkan Israel terus bersikap angkuh, ghairah dan bermaharajalela melakukan keganasan tanpa had dan batasan.

"Rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama telah bersatu hati dan bergabung suara dalam menyatakan celaan yang sekeras-kerasnya terhadap kezaliman tentera rejim Zionis Israel.

"Bagi umat Islam, perjuangan pembebasan Palestin adalah satu tanggungjawab keagamaan dan titik temu yang penting dalam usaha penyatuan ummah. Ternyata, umat Islam di negara ini telah berjaya mengenepikan perbezaan politik, amalan berpuak-puak dan kepentingan suku-sakat demi memperjuangkan hak mutlak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara bebas, merdeka dan berdaulat," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menyertai konvoi Freedom Flotilla serta mendoakan keselamatan mereka yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Muhyiddin turut menyeru agar semua rakyat Malaysia supaya menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin dan menzahirkan kecaman serta celaan sekeras-kerasnya terhadap tindakan melampau Israel menyerang dan membunuh sukarelawan yang tidak bersenjata di perairan antarabangsa. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan