Jabatan Perpaduan Akan Bincang Cuti Gantian Pekerja Swasta Sertai SRS

Diterbitkan: Ahad, 18 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan berbincang dengan sektor swasta bagi memperkenalkan cuti gantian kepada pekerja sektor itu yang terlibat dengan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPNIN Azizah Ariffin berkata sistem cuti ganti itu telah diperkenalkan sejak setahun lepas pada kalangan penjawat awam bagi menghargai kesanggupan mereka melakukan rondaan pada sebelah malam.

"Bagi penjawat awam yang menjadi anggota SRS, mereka akan diberi cuti ganti iaitu jika mereka bertugas selepas pukul 12 tengah malam selama empat jam atau lebih, mereka layak mendapat cuti ganti semasa waktu bekerja mengikut jumlah jam mereka meronda pada malam itu," katanya kepada pemberita, di sini pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis pelancaran serentak enam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) baru Daerah Kubang Pasu yang dilakukan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom.

Sehingga kini sebanyak 2,030 SRS telah ditubuhkan di seluruh negara, katanya.

Mengulas mengenai KRT, Azizah berkata setakat ini terdapat 4,708 KRT dengan 117,000 anggota jawatankuasa (AJK). Jabatan mensasarkan penambahan 300 KRT untuk tahun ini tetapi permohonan yang diterima adalah lebih daripada itu, katanya.

Mengulas perkara berkaitan, beliau berkata sejak tiga tahun lepas sejumlah RM2.2 juta pampasan insurans telah diberi kepada anggota SRS dan AJK KRT di seluruh negara.

Pampasan itu meliputi 96 kes kematian dan kemalangan, serta 350 kes kecederaan, katanya.

"Insurans itu akan diberikan kepada setiap AJK dan anggota SRS yang ditimpa kemalangan tidak kira di mana mereka berada. Jika mereka mengalami kemalangan di luar negara sekalipun mereka tetap dilindungi dengan insurans," katanya.

Sementara itu, Mohd Johari yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu berkata kawasan Parlimen itu akan memperuntukkan RM2,000 bagi setiap KRT mengadakan aktiviti di kawasan masing-masing.

Sekarang terdapat sembilan SRS serta 31 KRT di Kubang Pasu dan diharapkan jumlah ini akan terus meningkat, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan