LAPORAN KHAS: Harta Umat Islam RM40 Bilion Beku Kerana Kelemahan Undang-undang

Diterbitkan: Sabtu, 17 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sistem pentadbiran harta yang kurang efektif dipercayai menjadi punca kepada harta pusaka umat Islam bernilai RM40 billion di negara ini tidak dapat dibahagikan kepada waris yang berhak.

Timbalan Ketua Bahagian Penasihat Syariah di Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa berkata, undang-undang syariah yang longgar dan tidak seragam berkaitan wakaf, wasiat ar-rahn dan hibah, serta kekangan undang-undang sedia ada turut menyukarkan proses pengurusan harta pusaka.

"Aspek pengurusan dan pentadbiran harta orang Islam sama ada ketika masih hidup atau telah meninggal dunia boleh dikatakan masih lemah."

"Sehingga pertengahan tahun 2009 sahaja, perangkaan yang dikeluarkan oleh Amanah Raya Berhad (ARB) jelas menunjukkan RM40 billion adalah membimbangkan,” katanya semasa membentangkan kertas kerja berhubung Isu Perundangan Dalam Pengurusan dan Pentadbiran Harta Dalam Islam di Konvensyen Perancangan dan Pengurusan Harta Dalam Islam 2010, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Mahamad Naser berkata, masalah tersebut turut berlaku disebabkan oleh kelalaian dan kurangnya tahap kesedaran umat Islam itu sendiri tentang aspek pengurusan harta mereka.

Di Malaysia agensi seperti Amanah Raya Berhad (ARB) dan agensi swasta seperti Amanah Hibah dan Warisan MUKMIN ada menyediakan khidmat khusus dalam pengurusan serta pentadbiran wasiat secara profesional.

Antara aset yang akan dibekukan sekiranya tidak dituntut atau mengalami masalah perebutan oleh pewaris berhak meliputi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan dalam bank, kereta, hartanah, insuran dan sebagainya.

Dalam pada itu, Mahamad Naser berkata, kelalaian dalam menguruskan harta akan memberi impak kepada perkembangan ekonomi negara kerana aset berkenaan beku dan tidak dapat digunakan dengan sewajarnya.

Katanya, masyarakat Islam dilihat masih keliru dengan peranan dan fungsi pelbagai agensi yang wujud termasuk Majlis Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah, Pejabat Tanah (Unit Pembahagian Pusaka Kecil), Mahkamah Tinggi Sivil, ARB dan lain-lain agensi swasta.

"Sebagai contoh, apabila seorang Islam meninggal dunia, ada waris yang tidak tahu ke mana harus dia pergi untuk membuat pembahagian harta pusaka, sama ada ke Mahkamah Syariah, Pejabat Tanah atau ke Amanah Raya Berhad," katanya.

Jelasnya, di samping masalah konflik bidang kuasa, ketiadaan undang-undang yang mantap dan kekangan undang-undang dalam pelaksanaan perkara berkaitan wasiat, wakaf, hibah dan sebagainya telah menyebabkan pelbagai masalah timbul di kalangan umat Islam di negara ini dalam mengurus dan mentadbir harta mereka.

Katanya, konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah Syariah juga jelas walaupun pada tahun 1988 telah dimasukkan Perkara 121(1A) dalam Perlembagaan Persekutuan yang secara nyata bertujuan untuk memberi bidang kuasa yang eksklusif kepada Mahkamah Syariah dalam menangani masalah berkaitan orang Islam.

"Tujuan utama pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dengan penambahan fasal (1A) adalah untuk mengelakkan keputusan Mahkamah Syariah dalam perkara-perkara di bawah bidang kuasanya dicabar atau diketepikan oleh Mahkamah Sivil."

"Malangnya apa yang diharapkan itu tidak menjadi kenyataan. Konflik bidang kuasa antara kedua-dua mahkamah ini masih berterusan hingga ke hari ini," katanya.

Di Malaysia, undang-undang pentadbiran harta pusaka yang terpakai kepada orang Islam ialah Akta Probet dan Pentadbiran 1959 [Akta 97] dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98].

Pemakaian kedua-dua undang-undang ini kepada orang Islam adalah selaras dengan peruntukan butiran 4(e)(i) Senarai Persekutuan yang memperuntukkan bahawa perkara probet (terma untuk warisan hak pusaka) dan surat kuasa mentadbir adalah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkaitan dengan probet dan surat kuasa mentadbir.

Tambahnya, ketiadaan undang-undang khusus bagi negeri-negeri berhubung dengan transaksi khusus pengurusan harta orang Islam dikatakan telah menyukarkan para hakim Syarie untuk membicarakan kes-kes yang berkaitan.

"Ini boleh mengakibatkan penghakiman yang berbeza bagi kes-kes yang serupa antara hakim-hakim yang mungkin merujuk kepada pendapat ulama dan kitab yang berlainan," ujarnya.

Sementara itu, Mahamad Naser berkata, perkembangan undang-undang berlandaskan fekah Islam (Islamic Knowledge) harus digalakkan di kalangan peguam dan para Hakim Syarie. Ini kerana, undang-undang yang digubal sewajarnya dijadikan sebagai panduan kepada umat Islam atau agensi pelaksana dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau turut menyarankan supaya satu perancangan dasar yang selari dengan kehendak agama dilakukan oleh kerajaan bagi menggelakkan lebih banyak harta beku tidak dituntut oleh pewaris berhak.

Katanya, pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung perlu menyedari peranan dan tanggung jawab masing-masing sebagai badan yang diberi kuasa untuk mentadbir hal ehwal agama Islam termasuk yang berkaitan dengan harta umat Islam.

"Tindakan proaktif untuk menyediakan prasarana undang-undang seperti Peraturan, Kaedah dan juga pengeluaran fatwa perlu diambil supaya pengurusan dan pentadbiran harta-harta orang Islam di Malaysia menjadi lebih berkesan dan seterusnya dapat menguntungkan umat Islam," katanya.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan