Gagal Hadiri Mesyuarat, Empat Wakil Rakyat Setiu Seolah-olah Tidak Hormat TPM

Diterbitkan: Sabtu, 17 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kegagalan empat wakil rakyat kawasan Setiu menghadiri persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu seolah-olah tidak menghormati Timbalan Perdana Menteri yang merasmikan majlis itu, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Seputeh di sini pada Sabtu, beliau berkata majlis itu masih perlu dihadiri meskipun mereka mempunyai masalah dalaman.

"Itu bukan cara kita. Sekurang-kurangnya kita mesti menghormati perasmi, lebih-lebih lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menghormati bahagian kita kerana bahagian lebih penting daripada diri kita sendiri serta menghormati parti. Siapalah kita kalau tidak kerana parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan Muhyiddin apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Jabi, Ramlan Ali, Adun Permaisuri Abd Halim Jusoh, Adun Langkap Asha'ari Idris dan Adun Batu Rakit Khazan Che Mat tidak hadir pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu semalam.

Berkongsi kekecewaan dengan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, Hishammuddin berkata pihaknya akan menasihatkan keempat-empat wakil rakyat berkenaan.

"Kita akan sedarkan pihak berkenaan, kedudukan dan jawatan yang mereka pegang datang daripada sokongan orang ramai, datang daripada pengiktirafan terhadap parti. Apa juga alasan diberi mereka, boleh mencemarkan dan menjejaskan Setiu sendiri," katanya.

Dalam isu berbeza, Hishamuddin berkata beliau tidak meletakkan harapan perbincangan mengenai perjuangan bangsa dan agama hanya kepada seorang pemimpin dalam PAS, termasuk Musyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Kita kena tengok pendirian secara menyeluruh daripada parti PAS sendiri," katanya ketika ditanya mengenai pendirian Nik Aziz yang dilihat berdolak-dalik dalam memberi kenyataan berhubung kerjasama antara Umno dan PAS. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan