148 Pelajar UniMAP Mangsa Ribut Terima Bantuan

Diterbitkan: Sabtu, 17 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Sebanyak 148 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menjadi mangsa ribut dalam kejadian Khamis lalu, hari ini menerima sumbangan daripada tabung khas universiti itu bagi meringankan beban mereka.

Setiap pelajar menerima sumbangan RM500 yang disampaikan oleh Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin pada majlis ringkas yang berlangsung di kolej kediaman UniMAP di Kuala Perlis.

Dalam kejadian itu, sebanyak 68 unit rumah di Kolej Kediaman UniMAP Kuala Perlis rosak akibat ribut dan hujan lebat yang bermula pukul 3.30 petang itu, selain rumah-rumah di Taman Seberang Jaya, Kampung Pulau Ketam, Kampung Padang Cina, Taman Bukit Kubu, Kampung Bukit Putih dan Seberang Alor.

Dr Kamarudin yang bersyukur kerana tiada pelajar yang cedera dalam kejadian itu berkata pihaknya sedang mengkaji kemungkinan untuk membantu membaik pulih komputer dan kereta milik pelajar yang rosak dalam bencana itu.

Pada masa ini, pelajar terbabit ditempatkan di premis kosong di kolej kediaman itu dan asrama dan ada yang menumpang di rumah rakan mereka.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa ribut yang kini ditempatkan di Dewan Saujana Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai di Kuala Perlis. Setiap keluarga menerima RM250. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan