PDRM Beli Peralatan Tercanggih Untuk Siasat Kes Senjata Api

Diterbitkan: Jumaat, 16 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat kes berkaitan senjata api dijangka lebih menyerlah apabila pasukan itu memperoleh peralatan pengenalan balistik tercanggih dari Kanada menjelang akhir tahun ini.

Peralatan berkenaan, yang dikenali sebagai Integrated Ballistic Identification System (IBIS), boleh membantu PDRM menyelesaikan kes jenayah senjata api dengan lebih cekap dan membuka ruang kepada Malaysia untuk memulakan program pengesanan senjata api sendiri, kata Forensic Technology, sebuah syarikat pengeluar peralatan pengenalan balistik berpejabat di Kanada.

Dalam kenyataan di sini Jumaat, syarikat berkenaan berkata pembelian itu dibuat melalui kontrak antara kerajaan dan kerajaan yang melibatkan Canadian Commercial Corporation, pemudah cara perdagangan bagi pihak syarikat Kanada, dan Kerajaan Malaysia.

Syarikat itu berkata, peralatan berkenaan, IBIS TRAX-3D Systems, dengan kos permulaan RM10 juta, akan dipasang di Makmal Forensik Polis di Kuala Lumpur.

Teknologi IBIS berfungsi dengan mengambil imej digital tanda mikroskopik unik yang terdapat pada peluru dan kelopak peluru yang telah digunakan.

Satu tanda pengenalan akan diambil daripada setiap imej dan dibuat perbandingan dengan maklumat mengenai bukti balistik yang telah dimasukkan ke dalam pangkalan data sebelumnya.

IBIS tidak jauh bezanya dengan kecekapan yang dimiliki pakar forensik dan ini membolehkan PDRM membuat perbandingan secara sistematik tentang bukti balistik yang diperoleh, dengan bukti yang terdapat dalam inventori elektronik, tanpa banyak masalah.

"(Bolehlah diibaratkan bahawa) IBIS mampu mengesan sepucuk jarum yang tersembunyi dalam timbunan jerami kerana ia boleh mengesan hubungan antara jenayah dan senjata api serta suspek dan telah terbukti keberkesanannya kerana apabila dapat membantu polis di lebih 50 negara menyelesaikan kes yang besar kemungkinan tidak boleh diselesaikan melalui kaedah lain," kata pengasas dan presiden Forensic Technology Robert A. Walsh.

Beliau berkata, tindakan membasmi jenayah hanya akan berhasil melalui penggunaan teknologi baru dan teknologi yang dihasilkan syarikat itu membolehkan sesebuah negara bertukar-tukar dan membandingkan data balistik secara elektronik dengan negara lain yang mengggunakan sistem tersebut.

Katanya, melalui program baru Interpol dikenali sebagai IBIN, negara di seluruh dunia mampu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan mereka dalam memerangi jenayah dan pengganas licik sekiranya mereka melengkapkan pasukan polis masing-masing dengan peralatan yang diperlukan bagi tujuan itu.

Walsh berkata, kekuatan teknologi IBIS terletak pada keanjalan rangkaiannya dan ini membolehkan satu rangkaian penyelesaian jenayah diwujudkan di sesebuah wilayah sasaran seperti Aseanapol. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 24 Julai 2017 12:03 PM

Lantaklah! Ahya Memang Suka Tayang Badan

Isnin, 24 Julai 2017 9:00 AM

#BiziBody: Risteena Dah Nak Kahwin?

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Jumaat, 21 Julai 2017 11:09 AM

Lagak Lelaki Ini Seperti…

Jumaat, 21 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: iR Radzi - Cinta Terakhir

Khamis, 20 Julai 2017 3:30 PM

Luahan Ezlynn Beraya Tanpa Zuriat

Khamis, 20 Julai 2017 12:30 PM

Diana Muntah, Mabuk Teruk - Zamarul

Rabu, 19 Julai 2017 1:20 PM

Ulat Buku Naik Superbike

Kolumnis

iklan

Iklan