Harakah Harap KDN Turut Perbaharui Lesen Suara Keadilan dan Roket

Diterbitkan: Jumaat, 16 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Akhbar rasmi PAS, Harakah berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pertimbangan yang sama terhadap penerbitan lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP iaitu dengan meluluskan permit Suara Keadilan dan Roket.

Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah, Datuk Mustafa Ali berkata, tindakan itu penting bagi menggambarkan kebebasan akhbar di negara ini.

"Saya harap pertimbangan yang sama dapat diberikan kepada Suara Keadilan dan Roket," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Semalam KDN memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan Harakah dengan memberi amaran keras supaya ia hanya dijual di markas dan pejabat urusan parti itu sahaja.

Permit penerbitan akhbar itu tamat pada 7 Julai lepas.

Sebelum ini KDN menyatakan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu tidak akan diperbaharui sehingga kementerian menerima penjelasan yang memuaskan berhubung penyiaran beberapa artikel termasuk yang terbaru bertajuk 'Felda Bangkrap'.

Sementara itu, DAP menerima dua surat tunjuk sebab bagi akhbar Roket edisi bahasa Inggeris dan Cina yang permit penerbitannya masing-masing tamat pada 30 Jun lalu dan 30 November tahun lalu.

Selain itu menurut Mustafa, Harakah akan kembali berada di pasaran bermula Isnin depan.

"InsyaAllah Harakah akan diterbitkan seperti biasa dua kali seminggu iaitu setiap Jumaat dan Isnin.

"Bagaimanapun kita terlepas satu keluaran hari ini kerana permit kita baru diperbaharui semalam (Khamis)... kita sentiasa ikut peraturan," katanya.

Mengenai isu bahawa Harakah hanya boleh diedarkan dikalangan ahli sahaja, Mustafa yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, perkara berkenaan telah dijelaskan secara terpeinci kepada KDN.

"Pada muka depan Harakah memang kita cetak perkataan 'untuk ahli sahaja'... dari dulu sampai sekarang, dalam surat penjelasan juga kita kita nyatakan ia memang untuk ahli sahaja," katanya.

Malah Mustafa berkata, pihak pengurusan Harakah akan mengadakan pertemuan dengan para pengedar akhbar tabloid berkenaan petang ini bagi menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai perkara itu.

"Petang ini kita akan ingatkan kepada pengedar supaya jual kepada ahli sahaja.

"Payahlah nak tentukan sama ada pembeli itu benar-benar ahli ataupun tidak, bagi kita siapa yang beli maksudnya dia ahli PAS," katanya.

Berhubung arahan KDN supaya Harakah hanya diedarkan di markas dan pejabat urusan parti itu sahaja, Mustafa berkata: "Perkara itu juga kita akan bincang dengan pengedar, markas kita banyak tempat... rumah ahli juga boleh jadi markas."

Mustafa juga berkata, Harakah akan mematuhi arahan KDN supaya menghantar naskah setiap edisinya sebaik sahaja dicetak.

"KDN mahu kita hantar pada hari yang sama kita siap cetak, jadi selepas ini kalau pukul 6 siap cetak, pukul 6 kita hantar... kita tak akan tunggu lagi ke hari berikutnya.

"Walaupun selepas waktu pejabat, mereka kata ada orang yang akan terima," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan