Kerajaan Tidak Halang Inisiatif Penduduk Upah Syarikat Keselamatan

Diterbitkan: Khamis, 15 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menghalang inisiatif persatuan penduduk mengupah syarikat kawalan keselamatan untuk menjaga keselamatan komuniti mereka daripada menubuhkan skim Rukun Tentangga (RT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bagaimanapun berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menggalakkan penubuhan skim RT dan ditokok tambah dengan pembabitan pengawal keselamatan yang diupah oleh persatuan penduduk.

"Skim RT adalah bagi menggalakkan penyertaan orang awam dalam menjaga keselamatan kawasan mereka, sekaligus menggalakkan integrasi nasional," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah cemerlang jabatan itu di sini pada Khamis.

Beliau juga menasihatkan persatuan penduduk supaya berunding dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis sekiranya ada rancangan untuk membina sebarang struktur atau pondok kawalan keselamatan di kawasan masing-masing.

Koh berkata setakat ini, sebanyak 4,557 kawasan RT telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 250 kawasan RT dibentuk dalam enam bulan pertama tahun ini.

Katanya 250 kawasan RT baru akan ditubuhkan menjelang akhir tahun ini.

Mengenai Skim Rondaan Sukarela (SRS), Koh berkata skim itu mendapat sambutan dengan 1,780 SRS telah diwujudkan sehingga akhir tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan