TINJAUAN: BN Masih Jadi Pilihan Rakyat S'wak

Diterbitkan: Rabu, 14 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang berlangsung pada Mei lepas menimbulkan sedikit kesangsian terhadap genggaman Barisan Nasional (BN) di Sarawak tetapi tinjauan baru-baru ini yang dilakukan sebuah badan bebas membuktikan sebaliknya.

Menurut hasil tinjauan oleh Merdeka Center yang dikeluarkan Selasa, kebanyakan penduduk Sarawak masih menyokong BN.

"Sebanyak 64.1 peratus responden memberikan sokongan kepada BN, peningkatan sebanyak 1.1 peratus berbanding undi popular yang diterima parti pemerintah itu pada pilihan raya negeri 2006," kata pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Faisal S. Hazis, yang menjalankan tinjauan bertajuk "Between Continuity and Change: An Analysis of Voting Behavior in Sarawak 2010" (Antara Kesinambungan dan Perubahan: Satu Analisis Mengenai Ciri Pengundian di Sarawak 2010) bagi Merdeka Center.

Bercakap pada satu taklimat media, Faisal berkata, tinjauan itu dijalankan dari Januari hingga April melibatkan 518 responden di Sarawak, bertujuan menilai persepsi mereka terhadap Barisan Nasional (BN) dan parti-parti pembangkang.

"Daripada segi persepsi terhadap BN, antara 70 peratus hingga 80 peratus mereka yang ditinjau berkata mereka mempunyai persepsi positif mengenai dasar-dasar dan tindakan-tindakan yang dilakukan BN.

Bagaimanapun, beliau berkata responden menyatakan beberapa kelemahan dalam BN, seperti persaingan dalaman dan politik wang.

"Sebanyak 65.9 peratus mahu BN mengambil tindakan afirmatif (menyelesaikan masalah itu) manakala 74 peratus daripada mereka percaya rasuah adalah masalah utama di negara ini," katanya.

Faisal berkata, hanya 11.2 peratus responden mengaku yang mereka bersedia mengundi pembangkang.

Wujud juga tanggapan negatif terhadap pembangkang oleh responden seperti tidak bersatu, kurang idea mengenai pembangunan ekonomi, rasuah (11.4 peratus), pentadbiran lemah (7.5 peratus), kepimpinan lemah (4.8 peratus).

Mengenai faktor yang mempengaruhi ciri pengundian di Sarawak, Faisal berkata 36.9 peratus responden memilih parti-parti yang bertanding sebagai faktor utama, terutamanya parti yang mampu membawa pembangunan di negeri itu.

"Faktor lain ialah isu berkiatan dengan pengundi manakala pilihan calon-calon masih menjadi faktor ketiga terpenting," katanya.

Faisal juga berkata, masih merupakan tugas sukar bagi pembangkang untuk mengambil alih negeri itu kerana mereka perlu menguasai 36 daripada 71 kerusi di negeri itu.

Ketika ini, pembangkang hanya menguasai sembilan kerusi negeri di Sarawak, dengan DAP (6), PKR (1) dan Bebas (2).- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan