Penganjuran Program Motivasi Islam Perlu Rujuk Mufti

Diterbitkan: Rabu, 14 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebarang penganjuran program bersifat motivasi atau pengajaran Islam harus dirujuk kepada mufti negeri bagi memastikan ilmu yang disampaikan di sesebuah negeri tidak menimbulkan keraguan dan kesamaran masyarakat setempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kesamaran yang dimaksudkan boleh dilihat dari aspek aqidah, terminologi atau perkara-perkara berkaitan penggunaan bahasa.

Justeru, beliau meminta penganjur program supaya sentiasa berbincang dan mendapatkan pandangan dan nasihat mufti negeri mengenai kandungan program mereka.

"Mufti juga disaran mengambil pendekatan terbuka apabila berbincang tentang kesamaran sesuatu ilmu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Perdana Penerima Dermasiswa Baitumal dan Anugerah Cemerlang Akademik Pelajar anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, Rabu.

Beliau berkata, ilmu boleh dituntut di mana sahaja asalkan adab dalam menuntut ilmu ada batas, tatacara dan etika tertentu dipelihara. Terdahulu pada majlis itu, Jamil Khir menyampaikan saguhati kepada 136 penerima anugerah kecemerlangan akademik selain menyalurkan sumbangan RM4,094,660 kepada 7,693 pelajar sekolah rendah dan RM5,039,820 kepada 7,183 pelajar sekolah menengah.

Dalam ucapannya, beliau berkata, sepanjang 2009 MAIWP mengeluarkan RM15.6 juta untuk enam skim bantuan zakat yang setakat ini sudah dinikmati 19,300 pelajar dan mahasiswa.

Skim Biasiswa Baitulmal pula telah membiayai 113 pelajar cemerlang untuk mengikuti pengajian dalam dan luar negara.

"Seramai 76 pelajar bidang perubatan dan 37 pelajar pengajian Islam tajaan MAIWP sedang mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan