Penerbitan Suara Keadilan, Harakah Dan Roket Ditangguhkan

Diterbitkan: Rabu, 14 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penerbitan lidah rasmi pakatan pembangkang iaitu Suara Keadilan, Harakah dan Roket akan ditangguhkan sementara waktu sehingga pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilakukan bagi membincangkan isu pembaharuan permit ketiga-tiga akhbar berkenaan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP telah menjawab surat tunjuk sebab yang diberikan kementerian berkenaan berhubung isu pembaharuan permit dan artikel yang disiarkan akhbar itu.

"Kita akan mengkaji semula keputusan (penangguhan) ini minggu depan iaitu selepas wakil kita bertemu menteri (Hishammuddin), jadi kami memohon supaya disegerakan pertemuan ini.

"Ini kerana menteri bertanggungjawab sepenuhnya dan beliau harus mengemukakan alasan dan memberikan pertimbangan yang sewajarnya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lepas tidak akan diperbaharui sehingga kementerian menerima penjelasan yang memuaskan berhubung penyiaran beberapa artikel termasuk yang terbaru bertajuk "Felda Bangkrap".

PAS turut menerima surat tunjuk sebab daripada KDN berhubung permit yang tamat tempoh pada 7 Julai lepas akibat kelewatan menghantar salinan keluaran akhbar Harakah dan menjual akhbar itu kepada yang bukan anggota.

DAP pula menerima dua surat tunjuk bagi akhbar Roket edisi Bahasa Inggeris dan Cina yang tempoh permit penerbitannya masing-masing tamat pada 30 Jun lepas dan 30 Nov tahun lepas.

Sementara itu, Anwar berkata majlis pakatan pembangkang di Sarawak akan ditubuhkan secara rasminya pada Ahad ini manakala konvensyen pakatan pembangkang kedua akan diadakan hujung tahun ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan