Analisis Berita: Adakah Dr Zambry@Pangkor Pele Sebagai MB Popular Di Kalangan Rakyat?

Diterbitkan: Rabu, 14 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Apakah benar, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dikatakan lebih girang sekarang ini berbanding tempoh awal beliau mengambilalih tampuk pemerintahan negeri ekoran perkembangan di luar dugaan.

Dr Zambry, 47, menggantikan Datuk Mohd Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat (PR) selepas empat anggota Dewan Undangan Negeri daripada parti itu meninggalkan PR dan menyertai Barisan National (BN), menyebabkan percaturan politik di negeri itu memihak kepada BN.

Bagaimanapun ia bukan permulaan yang mudah bagi Dr Zambry memandangkan pelantikan beliau dicabar oleh PR di Mahkamah Tinggi dengan Menteri Besar terdahulu tidak mahu mengalah dan bertegas beliaulah Menteri Besar yang sah.

Selepas satu siri keputusan mahkamah yang bercanggah, pada 22 Mei lepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan muktamad bahawa perlantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar selepas PR kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri sebagai sah.

Bagaimanapun masih terdapat persoalan yang belum terjawab. Adakah Dr Zambry sebagai Menteri Besar popular di kalangan rakyat negeri ini yang mengundi memihak kepada pembangkang pada pilihan raya 2008?

Sebenarnya pada peringkat awal, ramai yang mengkritik pelantikan Dr Zambri tetapi kini semua itu telah berubah jika pendapat umum dijadikan kayu ukur.

Bekas kakitangan akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini tidak leka dengan pelantikannya itu dan telah berusaha gigih untuk mengembalikan sokongan bagi BN.

DIGELAR PANGKOR PELE

Dr Zambri yang mengkhusus dalam ekonomi dan pemikiran politik merupakan orang yang mudah didekati. Dilahir dan dibesarkan di Pangkor, beliau juga aktif dalam sukan, khasnya bola sepak yang membawa beliau jolokan 'Pangkor Pele', bersempena nama legenda bola sepak Brazil, Pele.

Bagaimanapun, daripada mula lagi, Menteri Besar ini terus turun padang bukan sahaja untuk melihat sendiri dan memahami keluhan rakyat tetapi juga untuk mendekatkan diri dengan mereka. Beliau menggunakan kebijaksanaannya daripada mula lagi dan meneruskan dengan tugas mentadbir kerajaan negeri.

"Sejak dipilih sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor pada 2004, beliau akrab dengan penduduk di kawasan pilihan raya itu. Saya secara peribadi sebenarnya merasa sedikit cemburu kerana terpaksa berkongsi pemimpin yang disanjungi dengan semua rakyat Perak selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-11," kata seorang peniaga di Lumut, Hasanuddin Ibrahim, 58, apabila ditanya oleh Bernama.

Ismail Din, 60, imam Masjid Jamek Tapah Road di Tapah mendapati sukar untuk percaya bahawa Dr Zambry turut serta dalam satu majlis sembahyang berjemaah yang beliau ketuai baru-baru ini.

Ia merupakan satu perhimpunan kecil membabitkan lebih kurang 150 anggota masyarakat tempatan yang menetap di kawasan Tapah Road untuk satu program 'qiamullail'.

Menteri Besar yang terpaksa menghadiri sebilangan acara utama di tempat-tempat berlainan pada hari yang sama tetap memastikan kehadiran beliau pada program itu.

Bagi seorang lagi warga tempatan yang menghadiri program 'qiamullail', Abdul Karim Suliman, 57, beliau turut kagum yang Menteri Besar sanggup meluangkan masa untuk berjemaah bersama rakyat.

Beliau sehinggakan beramah mesra dengan penduduk tempatan tanpa keberatan dan menyampaikan nasihat beliau berhubung beberapa perkara.

MEMIKAT GENERASI MUDA

Untuk mendekati generasi muda, Dr Zambry memilih satu pendekatan yang beliau sudah biasa dengan, sukan. Dr Zambry masih meminati bola sepak dan tidak keberatan untuk turun padang dengan pakaian sukan beliau dalam perlawanan-perlawanan persahabatan bersama golongan belia.

Golongan belia kini tidak asing lagi dengan Pangkor Pele dan melihat beliau sebagai 'role model' bernilai. Sehinggakan wakil-wakil media di negeri ini yang aktif dalam sukan berpeluang bermain bola sepak dengan Dr Zambry.

Ketua biro Perak bagi akhbar Kosmo, Ahmad Syakir Mohamad Sazili berpandangan yang Menteri Besar itu "bersemangat sukan" dalam segala segi dan bersedia mendampingi sesiapa sahaja dan ini adalah bukti yang beliau tidak bersifat elit.

"Bola sepak dan badminton adalah permainan bagi masyarakat lazim...Dr Zambry masih memilih untuk bermain dengan kami, dan beliau bermain dengan lebih baik berbanding kesemua kami," katanya.

PENCAPAIAN LEBIH LUAS

Bagi memastikan pencapaian lebih luas kerajaan negeri hingga ke akar umbi beliau telah berusaha sedaya upaya untuk menemui rakyat di pelbagai daerah dan seterusnya rakyat pula berpeluang menyuarakan masalah dan kebimbangan mereka secara terus kepada Menteri Besar.

Contohnya, semasa program 'qiamulail' penduduk Taman Seri Kampar yang mengalami masalah banjir lumpur membawa masalah mereka terus kepada perhatian Dr Zambry.

Menteri Besar kemudian membawa perkara tersebut untuk perhatian mesyuarat majlis kerajaan negeri dan mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk mencari punca serta penyelesaian segera bagi masalah itu.

MERAPATKAN JURANG

Datuk Hamdi Abu Bakar, ketua penerangan kerajaan negeri menjelaskan bahawa rakyat kini menerima kerajaan negeri pimpinan BN.

"Usaha Dr Zambry untuk mendekati akar umbi telah berjaya merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat," katanya.

Sementara itu, Dr Zambry sendiri menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan usaha bertemu rakyat melalui pendekatan 3P (turun padang, pengisian, dan hargai perasaan) yang diterima pakai.

Orang ramai pula menghargai kemesraan Dr Zambry dan yakin akan kepemimpinan beliau yang sanggup turun padang bertemu masyarakat untuk mendengar keperluan serta keluhan mereka.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan