Syarikat Telekomunikasi Diminta Kenakan Bayaran Minimum Bagi Jalur Lebar

Diterbitkan: Selasa, 13 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CYBERJAYA: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan meminta syarikat-syarikat utama telekomunikasi mengenakan kadar bayaran yang minimum sebagai galakan kepada orang ramai menggunakan perkhidmatan jalur lebar.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata langkah itu bagi menarik lebih banyak langganan baru jalur lebar sebagai usaha untuk mencapai sasaran penembusan sebanyak 50 peratus menjelang penghujung tahun ini.

Katanya status penembusan jalur lebar isi rumah sehingga 7 Julai lalu mencatatkan 37.7 peratus atau dengan jumlah langganan sebanyak 2.3 juta isi rumah.

"Kadar perkhidmatan jalur lebar yang terendah setakat ini, ialah RM38 yang diberikan oleh TM. Kita berharap antara syarikat telekomunikasi dapat menentukan kadar yang sederhana yang mampu oleh rakyat.

"Tetapi, saya yakin lama-kelamaan kadar ini akan menurun apabila lebih ramai rakyat melanggan perkhidmatan jalur lebar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Jalur Lebar Negara di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini pada Selasa.

Rais berkata daripada 16 juta pengguna internet di seluruh negara, hanya 2.3 juta isi rumah sahaja yang melanggan internet jalur lebar, 7.5 juta pelanggan 3G dan lebih 1 juta pengguna internet dial-up yang berpotensi untuk melanggan jalur lebar.

"Kami di kementerian yakin, sasaran akan dapat dicapai tetapi akan lebih cepat lagi jika pelanggan 3G sekarang menukar langganannya kepada jalur lebar.

"Begitu juga sekiranya mereka yang menggunakan perkhidmatan dial-up menukar kepada jalur lebar, ini juga akan melonjakkan serta-merta kepada kadar penembusan yang disasarkan," katanya.

Beliau berkata kementerian menjangkakan sasaran dapat dicapai menjelang bulan November.

Bagaimanapun, katanya perkhidmatan jalur lebar masih tidak begitu baik di kawasan luar bandar dari segi liputan dan penembusan melalui telefon bimbit dan SKMM perlu mengatasinya dengan segera.

"Saya dimaklumkan baru-baru ini, sudah ada teknologi yang kosnya tidak tinggi, iaitu di mana sahaja terdapat kemudahan telefon awam, kita boleh meletakkan access point yang boleh meliputi sekitar 2 kilometer di kawasan kampung.

"Jika ini dapat diperbanyakkan, maka liputan jalur lebar di luar bandar akan lebih baik lagi," katanya.

Sementara itu, Rais berkata kempen Kembara Jalur Lebar itu akan menjelajah ke lebih 500 lokasi di seluruh negara bermula 15 Julai ini dengan memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang tahap penembusan jalur lebarnya rendah.

Katanya negeri-negeri itu ialah Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata melalui kempen itu, orang ramai akan diberi penerangan tentang pentingnya jalur lebar dalam kehidupan seharian dan maklumat terkini mengenai perkhidmatan itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan