Standard Pengajian Homeopati Perlu Selamat - Tiong Lai

Diterbitkan: Selasa, 13 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan telah membangunkan standard untuk pengajian perubatan homeopati bagi memastikan amalan perubatannya selamat dan berkesan demi kesihatan rakyat.

Standard berkenaan itu hasil usahasama kementerian dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Homeopati Malaysia (MPHM), kata menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Kesungguhan kementerian untuk meningkatkan kualiti homeopati terbukti apabila Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya menawarkan kursus peringkat Sarjana Muda Homeopati pada tahun 2009," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) yang ingin tahu mengenai langkah-langkah dilaksanakan bagi memajukan kaedah perubatan homeopati dan setakat mana kemudahan penyelidikan, peruntukan kewangan dan garis panduan untuk mendaftarkan ubat homeopati yang dikeluarkan di negara ini.

Setakat ini, kementerian tidak menyediakan peruntukan khas kepada badan-badan pengamalan yang berminat untuk membuat penyelidikan, kata Liow.

Katanya MPHM telah dimaklumkan mereka yang berminat membuat penyelidikan boleh menggunakan borang permohonan yang dimuat turun daripada laman web www.nih.gov.my.

Liow berkata ubat homeopati perlu didaftarkan sebagai keluaran tradisional mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan sehingga kini, terdapat 92 keluaran homeopati berdaftar dengan pihak berkuasa Peraturan Kawalan Dadah. "Prosedur pendaftaran keluaran homeopati adalah mengikut prosedur sama seperti pendaftaran keluaran tradisional yang lain dan ini adalah kerana garis panduan permohonan pendaftaran keluaran ubat homeopati masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak industri.

"Untuk memastikan penyelarasan kawalan produk homeopati, dialog dan mesyuarat dengan persatuan dan majlis yang mewakili pengamal-pengamal perubatan homeopati sentiasa diadakan dan kali terakhir diadakan dialog dengan MPHM adalah pada 12 April 2010," katanya.

Liow berkata Rang Undang-undang Perubatan Tradisional dan Komplementari bagi mengawal dan mempercepatkan proses pendaftaran akan dibentangkan dalam masa terdekat. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan