Peserta PLKN Akan Dihimpun Semula - Zahid Hamidi

Diterbitkan: Selasa, 13 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan bercadang untuk mengadakan perjumpaan semula dengan kira-kira setengah juta bekas peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah menyertai program itu sejak ia dilancarkan pada 2004. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata majlis 'reunion' yang dicadangkan itu akan dijalankan secara berperingkat yang bertujuan untuk menjalin dan menyemai semula semangat patriotik dan kekitaan yang dibentuk ketika para pelatih menjalani program tersebut.

"Semangat patriotik dalam membentuk generasi muda berdisiplin dan bersemangat tinggi ketika di dalam kem perlu terus melekat di dalam hati setiap peserta meskipun mereka telah tamat latihan.

"Maka kita mahu adakan tindakan susulan untuk bertemu semula dengan bekas peserta yang telah mengikuti latihan PLKN sejak dari siri pertama lagi agar semangat kekitaan itu dapat dijalin semula," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program pemilihan secara berkomputer bagi pelatih PLKN Siri Ke-8 untuk tahun 2011 pada Selasa.

Dalam pemilihan itu, seramai 140,000 remaja daripada 514,553 yang lahir pada tahun 1993 terpilih untuk menyertai program pada tahun hadapan.

Mereka terdiri daripada 77,000 peserta lelaki dan 63,000 peserta perempuan.

"Pecahan peserta ialah 60 peratus Bumiputera iaitu sebanyak 84,000 peserta, Cina (28 peratus iaitu 39,000 peserta), India (10 peratus iaitu 14,000 peserta) dan dua peratus (2,800 peserta) bagi lain-lain kaum," katanya.

Ahmad Zahid berkata PLKN semakin diterima rakyat termasuk di kalangan pihak pembangkang yang kini menerima hakikat bahawa PLKN adalah untuk menjadikan pesertanya sebagai warga yang baik dan bukannya sebagai pusat indoktrinasi politik.

Katanya PLKN telah menunjukkan kesan yang amat positif dalam pembentukan ciri-ciri patriotisme, perpaduan kaum dan integrasi nasional, keperibadian unggul dan integriti serta semangat sukarelawan dalam kalangan remaja.

"Berdasarkan kajian keberkesanan PLKN yang dijalankan pada 1 Nov hingga 7 Dis tahun lepas ke atas 61,950 orang terdiri dari bekas pelatih, ibu bapa, majikan dan masyarakat umum, mendapati program berjaya memupuk semangat kesetiaan dan kecintaan kepada negara dengan pencapaian 83.86 peratus.

"Hasil kajian juga mendapati bahawa PLKN telah mewujudkan persefahaman yang lebih baik antara remaja yang berlainan agama dan bangsa selain meningkatkan semangat kesukarelaan, cergas, cerdas dan berkeyakinan diri," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata nama pelatih yang terpilih untuk menyertai PLKN Siri 8/2011 akan disiarkan melalui laman web www.khidmatnegara.gov.my pada 15 Julai ini selain akan dihebahkan di semua media elektronik dan cetak.

Katanya orang ramai juga boleh menyemak melalui sistem pesanan ringkas dengan menaip PLKN SEMAK (nombor kad pengenalan) dan dihantar ke 15888.

"Penempatan kem pelatih untuk Kumpulan Satu Siri 8/2011 akan diumumkan pada bulan November tahun ini dan untuk Kumpulan Dua dan Kumpulan Tiga, akan diumumkan pada tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata konsep pemilihan pelatih menggunakan sistem pemilihan rawak berkomputer yang dikenal sebagai 'Monte Carlo Logarithm' yang mana konsep tersebut terbukti sebagai pemilihan rawak terbaik dan diguna pakai oleh banyak pihak di negara ini dan luar negara.

PLKN dilancarkan pada 16 Februari 2004 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, dengan kumpulan sasaran merupakan golongan remaja berumur 18 tahun. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan