KLCC Akan Belanja RM1 Bilion Untuk Pembesaran Suria KLCC

Diterbitkan: Selasa, 13 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP)memperuntukkan RM1 bilion untuk pembangunan podium runcit dan pejabat Lot C seluas 140,000 kaki persegi menerusi program pembesaran hartanah Suria KLCC sedia ada.

Pengarahnya, George Ratilal berkata, pembangunan Lot C membuktikan komitmen KLCCP untuk terus meningkatkan portfolio hartanahnya dengan kualiti aset bertaraf dunia.

"Tumpuan kami ialah mengekalkan prestasi segmen runcit yang memperoleh manfaat daripada jumlah pengunjung yang besar di KLCC dan gandingan penyewa yang mementingkan jenama baharu untuk bertapak di Suria KLCC," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini, Selasa.

"Lot C merupakan pembangunan besar dan akan menambah nilai ruang pejabat dan runcit seia ada di Suria KLCC seluas 1.0 juta," katanya.

Podium runcit Lot C dijangka siap lewat tahun ini manakala menara pejabat dijadual siap pada Oktober 2011.

Suria KLCC mampu mengekalkan kedudukannya sebagai pusat runcit utama dalam negara dan mengekalkan bilangan pengunjung kira-kira 40 juta setahun.

Dengan perolehan sebanyak RM279 juta, sumbangan kepada keseluruhan perolehan KLCCP dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2010, mencecah hampir 32 peratus, sumbangan kedua teringgi selepas Twin Towers sebanyak 38 peratus.

Syarikat itu juga memiliki Menara Maxis, Menara ExxonMobil, Kompleks Dayabumi dan Mandarin Oriental Hotel.

Ketua Pegawai Eksekutif KLCCP Hashim Wahir berkata syarikat itu menjangkakan Kompleks Dayabumi, yang mengalami pertumbuhan perolehan 6.7 peratus pada 31 Mac, 2010, akan menjana pertumbuhan yang lebih tinggi pada tahun kewangan akan datang.

Beliau berkata, kerja membaik pulih Kompleks Dayabumi, termasuk menaik taraf kawasan umum yang dijadual bermula tahun ini, akan membolehkan syarikat memperoleh kadar yang lebih baik.

Kadar pendudukan Kompleks Dayabumi kini 95 peratus, kata Hashim.

Beliau berkata, syarikat itu merancang menyemak semula kadar sewa, namun enggan memberikan butiran lanjut mengenainya.

KLCCP menaikkan kadar sewa kepada RM5 kaki persegi pada 31 Mac, 2010, dariapda RM4 sekaki persegi sebelum ini.

Hashim menambah, projek di Kompleks Dayabumi serta pembangunan Lot C akan membantu meningkatkan kedudukan kompetitif syarikat dan nilai aset.

Sehingga 31 Mac, 2010, jumlah asetnya meningkat sebanyak 8.6 peratus kepada RM11.55 bilion, katanya.

Mengenai sama ada syarikat merancang mengambil alih lebih banyak tanah, Hashim berkata KLCCP akan terus memberi tumpuan terhadap meningkatkan nilai hartanahnya serta mengekalkan kedudukan sebagai syarikat pelaburan hartanah utama dalam negara.

Syarikat itu katanya masih mempunyai kawasan seluas 0.6 hektar yang belum dimajukan iaitu Lot D, dekat Mandarin Oriental Hotel.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan