Isu Pasir: Noh Dakwa Kerajaan Negeri Selangor Berniat Mengelak Sediakan EIA

Diterbitkan: Selasa, 13 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mendakwa kerajaan negeri Selangor berniat mengelak menyediakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) ketika memohon kelulusan untuk mengorek pasir di kawasan berhampiran taman rekreasi Paya Indah Wetlands, Dengkil, Sepang.

Beliau berkata mengikut peruntukan undang-undang, mana-mana kawasan yang keluasannya melebihi 50 hektar wajib menyediakan laporan EIA sebelum Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan.

"Tetapi permohonan oleh kerajaan negeri ialah kira-kira 48 hektar, tetapi kalau kita lihat kawasan yang diteroka lebih daripada 50 hektar. Ia adalah untuk mengelakkan mereka daripada kena sediakan EIA," katanya pada sidang media di Subang, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan udara dengan menaiki helikopter di kawasan Paya Indah Wetland, Kuala Langat dan Berjuntai Bestari, Kuala Selangor yang menjalankan aktiviti mengorek pasir.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut mempersoalkan adakah pemantauan dilakukan terhadap aktiviti mengorek pasir tersebut sama ada mematuhi garis panduan yang ditetapkan atau sebaliknya.

"Dari segi kedalaman, berdasarkan tinjauan, saya tengok kawasan yang dikorek ialah kira-kira 200 kaki dalam, macam kolam. Ini bukan kawasan lombong sedia ada tetapi kawasan baru tetapi mereka mengoreknya dengan begitu dalam," katanya.

Beliau juga mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri dalam memberi hak pengendalian aktiviti melombong pasir kepada anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) yang didakwa memonopoli aktiviti itu.

Noh mendakwa KKSB dilihat mengambil untung atas angin apabila melantik syarikat kontraktor, Cheong Weng Trading untuk kerja-kerja melombong pasir.

"Saya difahamkan tiada tender terbuka, ertinya KKSB apabila dapat konsesi pasir, dia suka-suka beri kepada mana-mana syarikat. Dulu semasa belum menjadi kerajaan dalam perjuangan mereka pengaruhi rakyat bahawa mereka akan telus dan menjaga harta rakyat tetapi apabila sudah memerintah saya lihat cara mereka lebih dahsyat lagi," katanya.

Selain itu, Noh berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berhubung isu itu dan dalam perbincangan tersebut beliau difahamkan bahawa pasir yang dikeluarkan dari kawasan berhampiran Paya Indah Wetlands dijual untuk pembinaan Terminal Penerbangan Tambah Murah (LCCT) di Sepang.

"Sekiranya betul (pasir) dijual pada LCCT maka kita nak minta LCCT beri kerjasama dan tengok sama ada pasir dikeluarkan mengikut peraturan atau tidak. Kalau tidak ikut peraturan maka LCCT kena berhenti beli pasir itu, kalau tidak LCCT seolah-olah seperti bersubahat untuk menggalakkan pengeluaran pasir yang tidak ikut peraturan. Kalau LCCT tidak beli pasir ini ia tidak boleh dikeluarkan dengan banyak," katanya.

Sehubungan itu, Noh berkata Umno Selangor akan membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat bagi meminta siasatan dilakukan sama ada berlaku perlanggaran prosedur atau undang-undang dalam pengendalian aktiviti melombong pasir di kawasan tersebut.

Beliau berkata Pemuda Umno Selangor juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)Selangor pada Khamis ini. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan