Deklarasi Jakarta Meterai Bagi Tubuh Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia

Diterbitkan: Selasa, 13 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Malaysia bersama enam negara pengasas lain semalam telah memeterai Deklarasi Jakarta bagi menubuhkan Persatuan Mahkamah Perlembagaan dan Institusi Setara Asia.

Selain Malaysia, negara lain dalam persatuan itu adalah Indonesia, Korea Selatan, Mongolia, Filipina, Thailand dan Uzbekistan.

Penubuhan persatuan itu bertujuan meningkatkan kerjasama dalam menggalakkan kedaulatan undang-undang, demokrasi dan hak asasi manusia menerusi pertukaran pengalaman dan maklumat berkaitan kes perlembagaan dan kepakaran dalam hal hukum.

Pada majlis menandatangani deklarasi itu, Malaysia diwakili oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, Indonesia (Presiden Mahkamah Perlembagaan Mohammad Mahfud MD), Korea Selatan (Hakim Mahkamah Perlembagaan Lee Dong-Heub).

Mongolia (Pengerusi Mahkamah Perlembagaan, Jamsran Byambadorj), Filipina ( Hakim Mahkamah Agung Mariano C.Del Castillo), Thailand (Presiden Mahkamah Perlembagaan Chut Chonlavorn) dan Ubzbekistan diwakili oleh Timbalan Pengerusi Mahkamah Perlembagaan, Bakhtiyar Mirbabaev.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini, Zaki berkata beberapa mesyuarat persediaan telah diadakan di Mongolia dan Seoul sejak 2005 untuk merealisasi penubuhan persatuan itu.

Katanya kongres sulung persatuan itu akan diadakan di Korea Selatan, selaku pengerusi persatuan, dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menurutnya, keanggotan persatuan itu dibuka kepada negara-negara Asia dan ketika ini kira-kira 30 negara telah menyatakan minat untuk menjadi ahli.

Negara-negara pengasas persatuan itu akan akan membentangkan kertas kertas dalam mesyuarat dua hari mulai esok bagi membincangkan amalan undang-undang di negara masing-masing dan Zaki akan membentangkan kertas bertajuk "Sistem Pilihan Raya di Malaysia." - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan