Touch 'N' Go: Caj 50 Sen Tambah Nilai Untuk Tampung Kos Operasi

Diterbitkan: Isnin, 12 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Caj tambahan 50 sen yang dikenakan ejen bebas syarikat Touch 'n Go Sdn Bhd seperti Petronas dan institusi perbankan bagi perkhidmatan tambah nilai kad tersebut, adalah untuk menampung kos operasi mereka, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng.

Beliau berkata, ejen bebas berkenaan dilantik bagi memperluaskan rangkaian perkhidmatan tambah nilai kad Touch 'n Go di seluruh negara.

"Walau bagaimanapun, para pengguna sebenarnya mempunyai pilihan untuk menambah nilai kad Touch 'n Go secara percuma atau tanpa dikenakan caj perkhidmatan iaitu di pusat khidmat pelanggan, kaunter dan lorong tambah nilai di plaza tol dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT)," katanya pada persidangan Dewan rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr P.Ramasamy (DAP-Batu Kawan) mengenai kewajaran pelanggan membayar caj tambahan 50 sen itu semasa menambah nilai kad Touch 'n Go di stesen mintak, serta pihak beroleh keuntungan daripada bayaran tersebut.

Yong berkata, syarikat Touch 'n Go kini sedang berusaha memperluaskan lagi aplikasi serta rangkaian penggunaan kad tersebut.

"Ini termasuklah memperkenalkan kaunter khidmat pelanggan di stesen-stesen Petronas yang terpilih tanpa mengenakan sebarang caj tambahan untuk jualan tambah nilai. Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara mulai Ogos ini," katanya.

Sehingga kini, perkhidmatan Touch 'n Go boleh didapati di 581 mesin juruwang automatik (ATM) terpilih di seluruh negara, stesen minyak (820) dan ejen yang sah (855). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan