Kerajaan Selangor Tahu Kegiatan Melombong Pasir Di Paya Indah Wetlands

Diterbitkan: Isnin, 12 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kegiatan melombong pasir dekat Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands, Dengkil, Sepang yang didedahkan media hari ini adalah di bawah pengetahuan kerajaan Selangor dan dikendalikan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid bagaimanapun mendakwa kegiatan tersebut mempunyai permit sah dan lokasi sebenarnya terletak di Kampung Olak Lempit di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat dan bukannya di Bukit Changgang.

Menurut beliau, permit melombong pasir di kawasan itu dikeluarkan pentadbir tanah Kuala Langat sejak Januari 2010 selepas mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Daerah Kuala Langat dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat.

"Kelulusan dari jabatan ini diperolehi selepas Skim Melombong dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan jabatan-jabatan ini.

"Operasi melombong dijalankan selepas JAS dan LUAS berpuas hati dengan EMP yang disediakan oleh KSSB iaitu anak syarikat kerajaan negeri yang bertanggungjawab di dalam perniagaan pasir.

"Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak menjejaskan alam sekitar termasuk Paya Indah Wetlands," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor dekat sini.

Khalid mengulas laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini yang menyatakan kegiatan melombong pasir di Selangor semakin tidak terkawal apabila 20 hektar tanah yang terletak kira-kira 50 meter dari Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil diceroboh untuk mendapatkan hasil tersebut.

Laporan itu juga menyebut aktiviti yang dipercayai di atas tanah milik kerajaan itu berlangsung sejak dua minggu lalu dan dikatakan 10 juta tan metrik pasir dianggarkan bernilai RM220 juta sudah dikorek.

Khalid berkata adalah mustahil untuk mengeluarkan 10 juta tan metrik pasir dalam masa dua minggu seperti yang dilaporkan kerana untuk mengeluarkan pasir sebanyak itu, ia memerlukan lebih 500,000 muatan lori.

"Jentera-jentera dan peralatan melombong tidak berkemampuan untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa dua minggu," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata kerajaan negeri sudah menjalankan beberapa usaha untuk memastikan bekalan air di Selangor tidak mengalami krisis.

Beliau berpendapat ada banyak cara boleh dilakukan untuk meningkatkan jumlah bekalan air di Selangor termasuk menggunakan air bawah tanah dan meningkatkan penggunaan air sungai untuk diproses sebagai bekalan air bersih.

"Kerajaan Selangor tidak menghalang projek pemindahan air dari Pahang ke Selangor, tetapi kita mengharapkan supaya tiada syarikat swasta atau kontraktor yang memperoleh keuntungan yang berlebihan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam meminta kerajaan Selangor supaya segera menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi memastikan kedua-dua negeri tidak berdepan dengan krisis air terburuk menjelang 2012.

Beliau dilaporkan berkata kerajaan pusat telah beberapa kali membuat rundingan dengan kerajaan Selangor mengenai isu berkenaan termasuk mengenai pelan pengambilan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor yang masih tidak dipersetujui kerajaan negeri. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan