ADUN Kuang Digantung Sehari Daripada Hadiri Sidang Dewan

Diterbitkan: Isnin, 12 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus hari ini digantung sehari daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setelah enggan mematuhi arahan Speaker Teng Chang Kim supaya duduk dan menghentikan perbalahan selepas usul dikemukakannya ditolak.

Perbalahan selama 15 minit berlaku antara Abdul Shukor dengan Teng ketika usul wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk membahaskan isu perlombongan pasir di Selangor ditolak menyebabkan beliau enggan duduk dan mempersoalkan tindakan Speaker.

"Peraturan mesyuarat mana Yang Berhormat gunakan untuk berdiri dan berbahas (isu perlombongan pasir) ini?" tanya Teng.

Abdul Shukor menjawab Peraturan Mesyuarat 35 (1) membenarkan seseorang anggota dewan berdiri untuk bercakap serta mempersoalkan mengapa usulnya itu tidak diterima untuk dibahaskan.

Tindakan Abdul Shukor yang enggan duduk walaupun berkali-kali diminta berbuat demikian oleh Teng menyebabkan Teng hilang sabar lalu mengenakan tindakan digantung daripada menghadiri persidangan dewan terhadap wakil rakyat itu.

Semua wakil rakyat BN bertindak keluar dewan mengiringi Abdul Shukor sebaik dikenakan tindakan berkenaan.

Ketika ditemui di luar dewan, Abdul Shukor mempersoalkan keputusan Speaker kerana menolak usul membahaskan isu kecurian pasir di Selangor.

"Saya kecewa usul pasir ditolak kerana apa yang kita lihat adalah kecurian pasir berleluasa di negeri ini manakala nilai royalti pasir yang dibahaskan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam dewan berlainan," katanya.

Sementara itu, Teng berkata tindakan menggantung Abdul Shukor dilakukan mengikut Peraturan Mesyuarat 44 (2) sebab tidak mematuhi peraturan mesyuarat.

Katanya, Peraturan 35(1) yang dipetik oleh Abdul Shukor adalah peruntukan umum bagi membolehkan seseorang anggota dewan bercakap dengan kebenaran Speaker.

Terdahulu, ketika menjawab isu pasir di Selangor, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan mengambil beberapa tindakan baru dalam usaha menyelesaikan kecurian pasir di negeri itu.

Katanya, kecurian pasir yang berlaku di Selangor semakin berleluasa sehingga menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian hampir RM30 juta.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri mengeluarkan lesen untuk industri pasir sebanyak 800 tan hingga sejuta tan setahun dengan keuntungan dianggarkan RM36 juta setahun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan