Umno, BN Perlu Urus Persepsi Negatif Dengan Baik - Muhyiddin

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JASIN: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu memberi keutamaan untuk mengurus dan memperbetulkan setiap persepsi negatif yang ditimbulkan pembangkang yang semata-mata mahu mengelirukan rakyat terhadap parti dan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu berkata anggota dan pemimpin parti perlu sentiasa sedar bahawa pembangkang tidak akan berhenti untuk memutar-belitkan fakta sebenar dalam sesuatu isu.

"Pihak pembangkang tidak akan berhenti untuk memutar-belitkan banyak fakta, kadang-kadang sampai ke peringkat mahkamah, buat laporan tidak betul dalam media sosial, diputarbelitkan dengan pembohongan dalam pelbagai peringkat ditambah pula dengan fitnah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jasin di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ketua Umno Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa.

Muhyiddin berkata pembangkang tidak segan silu dalam perbuatan mereka untuk menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat terhadap BN dan kerajaan.

"Kita perlu menguruskan persepsi, bagaimana cara hendak kita menguruskan persepsi itu tidak perlu saya jelaskan di sini, yang penting salah satu ukurannya menunjukkan parti kita kuat, hubungan antara parti komponen Barisan Nasional mesti kukuh," katanya.

Muhyiddin berkata sejak pilihan raya umum ke-12 pada 2008, banyak persepsi negatif oleh masyarakat terhadap parti dan kerajaan tetapi persepsi negatif itu semakin berkurangan berikutan langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan parti dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana Menteri mengambil inisiatif dari segi imej kerajaan dengan mengambil langkah seperti memperkenalkan Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh, dan beberapa lagi bidang pembangunan ekonomi yang kita akan kemukakan dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata populariti perdana menteri agak meningkat dalam tahun ini hasil tinjauan pihak tertentu dan ini menunjukkan satu persepsi yang baik.

Terdahulu semasa berucap, Muhyiddin mahukan parti melakukan tranformasi dengan lebih pantas sebagaimana kepantasan tranformasi dalam kerajaan.

Beliau berkata kepimpinan semua peringkat perlu bekerja keras menjayakan perjuangan parti dalam membela nasib rakyat dengan melaksanakan pelbagai program yang dirancang.

Sementara itu, Muhyiddin menasihati rakyat agar jangan mudah terpedaya dengan pembangkang yang cuba untuk melunturkan kredibiliti sesebuah agensi yang diwujudkan kerajaan BN.

Beliau berkata sejak dari dahulu hingga sekarang, pembangkang tidak henti-henti untuk melunturkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti agensi kerajaan seperti polis, badan kehakiman, badan perundangan dan agensi masyarakat lain seperti Felda, yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

"Ini strategi mereka, kita boleh baca, ini untuk menimbulkan tanda tanya rakyat tentang kredibiliti sesebuah institusi...institusi raja-raja pun mereka timbulkan.

"Jadi tidak ada satu pun yang betul, seolah-olah institusi yang ditubuh oleh kerajaan Barisan Nasional tidak baik, perlu kita patahkan tanggapan itu kerana mereka hendak timbulkan persoalan," katanya.

Beliau berkata jasa yang disumbangkan agensi kerajaan seperti Felda sudah diketahui dan diperakui rakyat, bagaimanapun pencapaian itu tidak disenangi oleh pembangkang.

Ditanya laporan yang mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim membiayai program temu bualnya dengan Cable News Network (CNN) baru-baru ini dalam usaha untuk meyakinkan kembali para pelobi Yahudi bahawa Anwar bukannya antiYahudi, Muhyiddin berkata kalau kenyataan itu betul, ini menunjukkan kemungkinan ketua pembangkang itu terdesak.

"Saya gunakan andaian kerana saya tidak tahu maklumat itu, kalau itu kenyataan betul mungkin bermakna dia tahu dia terdesak, tidak ada pihak yang mempercayainya lagi.

"Dia boleh gunakan media, kalau dia terpaksa bayar, dia bayarlah untuk menjelaskan pendirian dan pembohongan yang dia buat bila dia pergi luar negara," katanya.

Presiden Trevino Strategies and Media Inc., Joshua Trevino dipetik mendakwa, pada masa sama Anwar juga menggunakan lobi rangkaian sahabatnya di CNN bagi menaikkan semula imejnya di kaca mata dunia.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan