TPM Arah Kerajaan Negeri Percepat Selesai Krisis Bekalan Air Selangor

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kerajaan Selangor supaya segera menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi memastikan kedua-dua negeri tidak berdepan dengan krisis air terburuk menjelang 2012.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat telah beberapa kali membuat rundingan dengan kerajaan Selangor mengenai isu berkenaan termasuk mengenai pelan pengambilan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor yang masih tidak dipersetujui kerajaan negeri.

"Untuk jangka panjang, kita dah setuju nak bawa air dari Pahang ke Selangor dan Wilayah Persekutuan. Jika tidak dibuat dalam tempoh itu, kalau tak silap saya (akan) jadi masalah genting. Itu tidak dipersetujui kerajaan Selangor.

"Mana-mana laluan paip nak masuk, (kerajaan Selangor) dah bagi arahan kepada pihak majlis perbandaran dan pejabat tanah (supaya) jangan layan. Ini projek (kerajaan) persekutuan. Kalau tak layan apa jadi?" katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang di sini, hari ini.

Menurutnya kerajaan negeri itu di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim harus bertanggungjawab mengotakan janji-janji yang dibuat semasa kempen pilihan raya lepas untuk memberikan air percuma kepada rakyat negeri itu.

Beliau juga berkata walaupun urusan bekalan air di Selangor adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kerajaan pusat tetap mengambil perhatian mengenainya kerana ia turut melibatkan Wilayah Persekutuan.

Muhyiddin kemudian bertanyakan kepada para perwakilan mengenai "gred" yang patut diberikan kepada Khalid sepanjang beliau memerintah negeri itu.

"Saya yakin rakyat dah mula rasa gundah sebab terlalu banyak pergolakan politik misalnya isu dalaman PKR (Parti Keadilan Rakyat) sendiri, kedudukan Menteri Besar. Isu ini terbentang luas untuk dinilai rakyat sama ada ia untuk mengukuhkan parti atau retak menanti belah," katanya.

Pada sidang akhbar kemudian, Muhyiddin berkata kerajaan Selangor tidak boleh melihat isu air sebagai isu politik semata-mata tanpa mengambil kira kebajikan rakyat dan mengelak untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan demi menjaga nama baik mereka.

"Saya dengar (kerajaan negeri) bayar satu bulan RM13 juta (untuk tampung air percuma rakyat Selangor). Jadi, selama manakan ia nak bertahan sebab dia kata dia tak boleh naikkan harga air, takut syarikat konsesi itu (Syarikat Bekalan Air Selangor) tanggung rugi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan akan menunaikan janjinya untuk memberikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar yang mendapat 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira kaum.

"Itu dasar yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kerajaan akan tunaikan," katanya mengulas pengumuman itu dibuat Perdana Menteri semalam.

Mengenai isu gangsterisme di kalangan pelajar, Muhyiddin berkata pihak sekolah perlu menilai sama ada gejala itu begitu serius di sekolah masing-masing sehingga boleh mengancam keselamatan pelajar lain.

"Apabila timbul soal disiplin yang tidak melibatkan undang-undang, tiada hukuman berkaitan jenayah, itu di bawah bidang kuasa jabatan dan sekolah. Tetapi kalau ia melangkau soal jenayah hingga pukul sampai berdarah, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan