Stor Runtuh Yang Mengorbankan Tiga Pelajar Tempat 'Memasak' Bijih Timah

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BATU GAJAH: Bangunan stor usang yang runtuh bumbungnya dan mengorbankan tiga pelajar sekolah di Kampung Changkat Tin, Tanjung Tualang dekat sini semalam dipercayai "reput" kerana ia pernah dijadikan tempat "memasak" bijih timah.

Naib Presiden Kelab Lion Tanjung Tualang Ng Chee Mong, 51, berkata stor berkenaan digunakan sebagai tempat menyimpan dan memproses bijih timah yang baru dilombong.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian, Ng berkata syarikat yang menjalankan kegiatan melombong di kawasan berkenaan telah menghentikan operasi sejak 40 tahun lepas.

Beliau menasihati semua penduduk yang tinggal di kawasan bekas lombong bijih timah supaya tidak mendekati binaan seumpama itu kerana ia terlalu lama dan mudah runtuh.

"Siapa tahu sebenarnya usia sesebuah premis lama itu lebih-lebih lagi ia dibina untuk tujuan memasak bijih timah," katanya.

Stor berkenaan diperbuat daripada konkrit dengan ketebalan serupa pada bahagian dinding dan bumbung.

Ng berkata syarikat yang melombong di kawasan berkenaan beroperasi sejak sebelum Merdeka dan bangunan-bangunan lama yang ditinggalkan dipercayai dibina berpuluh tahun sebelum itu.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang semalam, tiga pelajar sekolah terbunuh, manakala seorang lagi cedera parah apabila ditimpa bumbung konkrit stor berkenaan.

Mereka yang terbunuh ialah Ahmad Nuzol Ahmad Nawawi, 13, Muhamad Hisham Alias, 12, dan Muhamad Safwan Abdul Aziz, 13, manakala rakan mereka yang cedera Mohd Shahir Zairi, 13, dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Kesemua mangsa yang cedera parah di kepala dan badan mati di tempat kejadian dan mayat mereka dijumpai kira-kira 10 malam oleh kaum keluarga dan penduduk kampung.

Kejadian dipercayai berlaku semasa pelajar terbabit berteduh dalam stor berkenaan kerana hujan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan