Samy Vellu Akan Realisasikan Visi Najib Mahu MIC lebih Kuat

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau menghargai keyakinan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada MIC, parti yang mewakili kaum India dalam Barisan Nasional (BN).

Samy Vellu juga berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengiktiraf sumbangan MIC dan kepimpinannya kepada masyarakat, BN dan negara.

"Kami akan bekerja ke arah mencapai apa yang beliau harapkan daripada kami (MIC), dan semoga pada perhimpunan agung parti (tahun depan), kami sudah mencapai hasrat itu," kata Samy Vellu ketika ditemui pada hari terakhir perhimpunan agung MIC ke-64 di sini pada Ahad.

Semalam, ketika merasmikan perhimpunan agung MIC, Najib selaku Pengerusi BN berkata, beliau mahu MIC melakukan perubahan dan melihat MIC muncul sebagai parti yang lebih moden dan progresif.

Perdana Menteri turut memberitahu perwakilan MIC bahawa sumbangan Samy Vellu kepada MIC wajar diikiraf dan pemimpin MIC itu tidak seharusnya dipersalahkan bagi kesemua masalah yang wujud dalam kalangan masyarakat India.

Najib turut berkata Samy Vellu semasa menjadi menteri telah membangkitkan banyak isu berhubung kaum India di Kabinet.

Samy Vellu berkata MIC akan terus berjuang bagi memastikan kehidupan lebih selesa bagi masyarakat India.

"Kami akan bekerja keras seiring dengan visi Perdana Menteri yang mahukan MIC lebih kuat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan