Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sungai Petani Kecoh - Berita Semasa | mStar

Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sungai Petani Kecoh

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani hari ini kecoh apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan Ketua Bahagian Ali Yahaya berucap pada majlis perasmian.

Kekecohan hampir 45 minit itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi selepas bacaan doa dan nyanyian Negaraku, apabila seorang anggota jawatankuasa bahagian, Mohd Yusuf Lazim bangun menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Ali dan mahu beliau melepaskan jawatan.

Keadaan bertambah kecoh apabila lebih ramai perwakilan bangun termasuk anggota Wanita meminta Ali berundur sehingga menyebabkan pertikaman lidah antara perwakilan dengan penyokong Ali.

Menurut Mohd Yusof, Ali tidak layak menjadi Ketua Bahagian kerana menimbulkan pelbagai kesulitan kepada kepimpinan parti termasuk tindakannya tidak disenangi banyak pihak dan agensi kerajaan.

Malah Naib Ketua bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan ketua Puteri Sungai Petani, Shahanim Mohd Yusof yang berada di atas pentas turut turun menyertai perwakilan meminta Ali berundur.

Bekas Setiausaha Umno bahagian Sungai Petani, Mohd Akhir Shafie mendakwa lebih 60 peratus daripada perwakilan yang hadir mahu Ali melepaskan jawatan.

"Kami ingin menyampaikan mesej kepada pucuk pimpinan parti bahawa Ali tidak dikehendaki di Sungai Petani.

"Dia tidak layak jadi Ketua Bahagian. Syukurlah sebahagian besar perwakilan menyuarakan kehendak mereka secara terbuka hari ini. Ini yang penting," kata bekas Timbalan Ketua Bahagian, Abu Bakar Ahmad.

Katanya Ali juga antara punca 10 cawangan tidak dapat mengadakan mesyuarat dan satu cawangan dibubarkan. Bahagian Sungai Petani mempunyai 130 cawangan.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abd Azeez Abd Rahim yang mewakili Ibu Pejabat UMNO terpaksa bercampur tangan apabila melihat keadaan tidak terkawal lalu meminta perwakilan memberi laluan kepada Ali berucap tetapi mereka tetap mempertahankan tindakan mereka.

Beliau kemudian mencadangkan supaya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berucap merasmikan mesyuarat tersebut dan menyambung mesyuarat selepas perasmian dan dipersetujui perwakilan.

Abd Azeez yang ditemui pemberita selepas itu berkata pihaknya akan menyelesaikan kemelut Umno Sungai Petani dalam semangat kekeluargaan dan berlandaskan perlembagaan parti.

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan