Pemimpin Umno Perlu Kebijaksanaan Luar Biasa Tangani Masalah Di Bandar

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua pemimpin Umno khususnya di kawasan bandar yang pesat maju perlu mempunyai kebijaksanaan luar biasa dalam mencari ikhtiar menyelesaikan masalah rakyat di situ.

Beliau berkata ini berikutan harapan dan tuntutan penduduk di kawasan bandar adalah berbeza dan tinggi jika dibandingkan dengan permintaan rakyat di kawasan luar bandar.

"Apa yang saya sebut ini bukan perkara biasa. Maknanya, cabaran yang dihadapi oleh pimpinan politik seperti Umno untuk mengatasi masalah masyarakat agak kritikal dan kalau itu tidak dapat ditangani maka ia akan menjadi satu masalah yang akan memberi kesan kepada sokongan politik kepada kita.

"Inilah masalahnya. Jadi, sebab itu, kita menjadi pimpinan Umno dalam kawasan metropolitian yang sudah membangun ini bukan mudah. Senang lagi menjadi ketua bahagian Pagoh daripada ketua bahagian Setiawangsa," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiawangsa pada hari Ahad.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, berkata ramai yang datang berhijrah ke Kuala Lumpur membawa harapan menggunung untuk mencari perubahan dalam hidup mereka tetapi menghadapi masalah setelah berada di kota besar yang maju itu.

"Masalah di sini pastinya berbeza sedangkan harapannya agak menggunung dan apabila tidak dapat diselesaikan perasaan marah itu agak lebih besar, lebih marah daripada biasa," katanya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, menggesa semua pimpinan dan anggota Umno mengambil tindakan segera dalam mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat di bandar dan luar bandar terhadap Umno.

Katanya situasi landskap politik yang berubah sejak pilihan raya umum lepas, telah mewujudkan satu corak pemikiran agak kekal di mana mereka tidak akan menyokong kerajaan lagi.

Mengambil contoh pilihan raya kecil di Hulu Selangor di mana Barisan Nasional menang di kawasan berkenaan tetapi ada beberapa peti undi kalah teruk dibandingkan pada pilihan raya umum 2008.

"Kalau kita membuat simulasi apa yang berlaku di Setiawangsa, Hulu Selangor, Sibu dan tempat lain, dalam senario politik yang sudah berubah dan harapan rakyat yang tidak sama seperti dahulu. Kita sedang berhadapan dengan apa yang dikatakan ancaman.

"Kalau kita sedar inilah risiko yang kita sedang hadapi, kita hendak ubah tanggapan dan persepsi masyarakat di bandar dan luar bandar, maka ia menuntut kita mengambil tindakan cepat.

"Sebab itu Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan saya sentiasa ulang bahawa proses perubahan dalam politik iaitu membawa pemikiran rakyat untuk menyokong kita kembali patut berlaku semalam bukan hari ini," katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan bahawa Umno bukan sebuah parti elitis meskipun mengadakan persidangan di hotel bertaraf lima bintang.

Katanya setiap pemimpin akan menjalankan tanggungjawab masing-masing mengikut asas penubuhan parti itu untuk memperjuangkan nasib dan membawa perubahan kepada orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

"Walaupun mesyuarat ini diadakan di hotel lima bintang tapi ini tidak bermakna parti ini bertaraf elitis kerana lepas bersidang ini kita akan balik ke kampung masing-masing. Kita adalah parti yang berpijak di bumi nyata, parti yang pragmatik dan praktikal," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan