Pelajar Dapat 9A Dalam SPM LayakTerima Biasiswa JPA - Najib

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melambai kepada perwakilan yang hadir pada majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke - 64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada Sabtu. Turut kelihatan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu (hadapan tiga kiri).- Foto BERNAMA.
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melambai kepada perwakilan yang hadir pada majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke - 64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada Sabtu. Turut kelihatan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu (hadapan tiga kiri).- Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Semua pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 9A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia layak menerima biasiswa Jabatan Perkhidamatan Awam (JPA) bagi membiayai pengajian mereka di luar negara mahupun institusi pengajian tinggi awam di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Najib berkata seramai, 2,304 daripada 2,499 pelajar India yang layak juga turut diberikan tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Beliau berkata, seramai 4,541 pelajar India telah memohon untuk memasuki IPTA tahun lalu.

“Ini satu manifestasi yang sangat jelas bahawa kerajaan sentiasa membantu kaum India,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)di sini pada Sabtu.

Perdana Menteri turut mendapat tepukan gemuruh apabila beliau menyatakan bahawa semua pelajar yang layak akan diberikan biasiswa berkenaan tanpa mengira bangsa dan warna kulit.

“Ini menunjukkan kerajaan sememangnya mempraktikkan semangat 1Malaysia,” katanya.

Najib turut menasihati MIC supaya tidak menggunakan akhbar Tamil iaitu Tamil Nesan, Makkal Osai dan Malaysian Nanban untuk kepentingan politik mereka.

“Kamu menggunakan akhbar Tamil ini untuk memusahkan kaum anda sesama sendiri. Apa ini? Anda harus menggunakannya untuk kepentingan masyarakat India,” katanya.

Beliau turut menggesa MIC supaya menghentikan pertengkaran dalaman dan berubah mengikut perubahan masa agar masalah kepimpinan parti itu tidak akan menggugat peranannya untuk membela nasib kaum India.

“Jangan bergaduh dan musnahkan MIC, saya merayu kepada anda. Terdapat 3,000 cawangan MIC. Tanya diri anda apa yang dimahukan oleh kaum India dan bagaimana hendak menjadi seorang pemimpin yang efektif?.

“Pertengkaran dalaman akan hanya memusnahkan MIC,” katanya.

Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiuasaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib turut menyentuh mengenai sikap pemimpin India yang mengamalkan sikap memilih pemimpin mengikut kasta-kasta tertentu.

”Mungkin anda tidak perlu terlalu terbawa-bawa sistem kasta ini apabila tiba kepada politik.

"Saya sendiri pernah melihat satu kejadian di mana seorang pemimpin itu tidak mahu meletakkan kalungan bunga kepada orang yang mempunyai kasta yang lebih rendah daripadanya,” ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan