Kerajaan Seluruh Dunia Mesti Bangun Menentang Israel:Dr Mahathir

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan di seluruh dunia perlu bangun menentang negara penyangak Israel secara terang-terangan dan tidak boleh bersikap hipokrit mengenainya, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO) berkata Israel tidak boleh terus dibiarkan bertindak seperti yang dilakukannya sekarang dan wujud sebagai sebuah negara apartheid yang terus menindas penduduk Palestin.

"Masyarakat dunia mesti menghantar mesej harapan dan perpaduan kepada penduduk Palestin bahawa kita tidak akan sekali-kali meninggalkan mereka dan kita akan berganding bahu dengan mereka dalam perjuangan mereka mendapatkan pembebasan serta menubuhkan negara Palestin.

"Kita mesti berusaha untuk mewujudkan sebuah pakatan meluas ke arah mewujudkan keamanan dan mendedahkan serta menentang rancangan besar penganjur peperangan. Kita akan berjuang selagi ia diperlukan dan memecahkan kepungan mereka.

"Rachel Corrie dan Mavi Marmara (dua kapal pembawa bantuan kemanusiaan ke Gaza) telah merintis laluannya. NGO (badan bukan kerajaan) dan para sukarelawan pula telah membuka jalannya. Kita perlu perhebatkan lagi momentum ini dan terus mara ke hadapan," kata Dr Mahathir dalam ucaptamanya pada Persidangan Antarabangsa PGPO mengenai Gaza bertemakan "Breaking the Siege: In the Spirit of Rachel Corrie and Mavi Marmara" (Memecahkan Kepungan: Berlandaskan Semangat Rachel Corrie dan Mavi Marmara)," di sini hari ini.

Pada 31 Mei, tentera Israel menaiki Mavi Marmara, kapal utama flotilla bantuan kemanusiaan yang menunju ke Gaza, dan membunuh sembilan aktivis serta mencederakan berpuluh yang lain.

Dua belas rakyat Malaysia adalah antara lebih 550 aktivis yang menaiki Mavi Marmara, manakala enam lagi rakyat negara ini menaiki MV Rachel Corrie, kapal kargo yang dirampas tentera Israel ketika dua kapal berkenaan berada di perairan antarabangsa dalam pelayaran menuju ke Gaza bulan lepas.

PGPO membiayai dua kapal penumpang dalam flotilla berkenaan serta kapal MV Rachel Corrie.

Dr Mahathir berkata dunia perlu memperhebatkan desakan agar peperangan diiktiraf sebagai suatu jenayah kerana "peperangan meragut banyak nyawa, membunuh secara beramai-ramai dan oleh itu perlu dianggap sebagai suatu jenayah".

"Suatu perkara yang menggembirakan ialah apabila baru-baru ini, Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga berpendapat bahawa pencerobohan melalui peperangan adalah suatu jenayah.

"Tapi, Amerika di bawah kepimpinan Presiden Barack Obama menentang keras inisiatif mulia ini. Jadi, sekali lagi, kita berdepan dengan kesimpulan yang tidak dapat ditolak...tidak ada perubahan, status quo juga tidak berubah dan para pemimpin ini lebih suka memilih peperangan," kata beliau.

Dr Mahathir berkata Israel dan Amerika tidak berhasrat untuk melihat wujudnya Negara Palestin dan rakyat Palestin hidup dengan aman bersama rakyat Israel.

"Perdana Menteri (Israel) Benjamin Netanyahu secara terbuka dan tanpa segan silu mengisytiharkan beberapa hari lepas bahawa Israel tidak akan menuntut maaf atas pembunuhan kejam yang dilakukan di perairan antarabangsa itu, walaupun ia melanggar semua konvensyen dan undang-undang antarabangsa kerana kononnya Israel mempunyai alasan kukuh untuk melakukan pembunuhan terhadap manusia yang tidak bersenjata bagi mempertahankan keselamatan Israel.

"Pemimpin Israel itu (Netanyahu) berkata demikian dengan jelas dan secara terbuka dalam ucapannya di Kaherah. Beliau berkata di hadapan seluruh dunia Islam bahawa ikatan antara Israel dan Amerika tidak akan putus.

"Oleh kerana mengetahui Amerika tidak akan mengutuk tindakannya atau mengenakan veto terhadap sebarang resolusi Majlis Keselamatan yang menuntut penjelasan penuh tentang kejadian itu, maka Israel tidak mempedulikan kutukan masyarakat antarabangsa dan berpegang pada pendriian bahawa ia berhak untuk berbuat apa saja mengikut kehendaknya. Israel menganggap dirinya tidak perlu mematuhi undang-undang antarabangsa dan nilai moral bersama," kata beliau.

"Masyarakat dunia perlu sentiasa berwaspada dan bersiap sedia untuk menentang sebarang percubaan oleh penganjur peperangan untuk melancarkan satu lagi peperangan, sama ada dengan Iran, Syria atau mana-mana negara lain.

"Para penganjur peperangan ini akan terus mencanangkan propaganda bahawa musuh ideologi bagi Barat ialah Islam dan media massa yang dikuasai Zionis tidak akan menghentikan usahanya untuk menjadikan umat Islam sebagai mangsa mereka," kata beliau lagi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan