JPAM Sasar 100,000 Anggota Menjelang Akhir Tahun Ini

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DALAT: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mensasarkan untuk mengambil 60,000 anggota baru bagi mencapai sasaran 100,000 anggota menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarah JPAM Datuk Abdul Halim Abdul Hamid menjangkakan kira-kira 10,000 anggota baru itu adalah dari negeri ini.

"Pada masa ini, kami mempunyai kira-kira 40,000 anggota. Sarawak mempunyai 15,647 anggota berbanding hanya 12,960 anggota pada akhir tahun lepas.

"Kami yakin mencapai sasaran itu kerana masyarakat sentiasa berminat untuk menyertai kami," katanya pada program kemasyarakatan jabatan itu di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Dalat.

Abdul Halim berkata jabatan perlu meningkatkan usaha untuk menggerakkan proses pengambilan baru itu termasuk mengadakan program bersama komuniti di daerah-daerah di seluruh negeri ini.

"Kami baru ke daerah Mukah, Daro dan Matu.

"Dan diharap tidak lama lagi masyarakat di daerah Dalat, Miri, Batang Ai, Simunjan, Tatau, Kanowit, Saratok, Bau dan Pakan akan berminat untuk menyertai kami dalam memberi khidmat ketika berlaku kecemasan dan bencana," katanya.

Halim kemudian melantik Fatimah sebagai anggota bersekutu jabatan dengan pangkat Leftenan Kolonel. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan