Jangan Gunakan Akhbar Untuk Kepentingan Politik Peribadi - Najib - Berita Semasa | mStar

Jangan Gunakan Akhbar Untuk Kepentingan Politik Peribadi - Najib

Diterbitkan: Ahad, 11 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kaum India agar tidak menggunakan akhbar demi agenda politik peribadi mereka.

Berikutan peratusan kecil kaum India di negara ini, iaitu 7.9 peratus ketika ini, menggunakan akhbar untuk kepentingan peribadi akan lebih memisahkan kaum berkenaan, katanya.

"Ini ada tiga surat khabar India ni, asyik bantai sini, bantai sana. Anda menggunakan akhbar demi kepentingan politik peribadi. Anda memusnahkan satu sama lain, anda memusnahkan Barisan Nasional(BN).

"Anda sepatutnya menggunakan akhbar untuk kebaikan kaum India," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-64 MIC di sini pada Sabtu.

Beliau berkata akhbar sepatutnya digunakan sebagai alat komunikasi dan mengubah minda kaum India bagi manfaat kaum berkenaan.

"Sebaliknya, kata dia tak betul, dia tak betul, akhir sekali BN runtuh. Inilah yang berlaku dalam pilihan raya umum yang lepas," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin BN agar berganding bahu untuk berkhidmat kepada kaum India memandangkan bekerja secara bersama-sama merupakan satu-satunya cara untuk melakukan yang terbaik.

Beliau turut berjanji untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kaum India Malaysia menerusi Jawatankuasa Kabinet.

Najib berkata masih ada sesetengah kaum India yang belum memiliki kad pengenalan diri (MyKad) dan jumlah penyertaan kaum itu dalam pasukan polis juga rendah. "Sebab itulah hari ini saya menggesa supaya MIC diperkukuhkan untuk terus maju ke hadapan. Umno akan bersama-sama membantu anda," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan