Umno Perlu Kenal Pasti Dan Dekati Pengundi Yang Masih Belum Daftar

Diterbitkan: Sabtu, 10 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Faktor kesuntukan masa dan anggapan proses daftar pemilih sebagai susuatu yang tidak penting, dikenal pasti sebagai punca mengapa ramai pengundi yang layak masih belum mendaftar sebagai pemilih, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata Umno akan mengubah pendekatan dalam menarik orang ramai mendaftar sebagai pemilih sebelum berlangsung pilihan raya umum ke-13 nanti, dengan memberi keutamaan kepada dua kumpulan ini.

Katanya anggota Umno perlu meningkatkan usaha itu dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan, menjelajah semua sektor, kilang-kilang dan sebagainya untuk mendekati kumpulan ini.

"DAP bulan lalu (Jun) sahaja mendaftar 13,000 pengundi (baru), sedangkan Umno hanya daftar 7,000 hingga 8,000 sahaja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya Umno ketika ini mempunyai 4.3 juta pemilih berdaftar di seluruh negara, dan usaha kini ditumpukan kepada 1.9 juta penduduk Melayu yang layak, tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Sementara itu Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Terengganu merupakan antara negeri yang diberi tumpuan oleh kementerian itu terutamanya dalam aspek pembinaan rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Sepanjang tahun ini, 16,000 rumah PPRT dibina di Terengganu, dengan 1,400 sudah siap manakala selebihnya masih dalam proses," katanya.

Katanya setakat ini 44 projek bernilai RM20 juta sedang dilaksanakan di daerah ini, merangkumi pembinaan jalan raya, elektrik, air dan kemudahan sosial seperti pembinaan jambatan.

Terdahulu Shafie merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Besut di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zain yang juga Anggota Parlimen Besut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan