Saya Lakukan Apa Yang Betul Untuk Masyarakat India - Samy Vellu

Diterbitkan: Sabtu, 10 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengakui beberapa keputusan yang diambilnya mungkin tidak dapat diterima baik sesetengah pihak.

Namun beliau menegaskan bahawa beliau hanya melakukan "apa yang betul" untuk masyarakat dan parti.

"Terdapat banyak keadaan di mana keputusan-keputusan saya tidak disukai, tetapi saya percaya sebagai seorang pemimpin, saya telah melakukan apa yang betul untuk rakyat.

"Saya perlu melakukan perkara yang betul, dan pada masa sama, mendapatkan apa yang betul bagi rakyat," katanya kepada 3,000 perwakilan dan pemerhati MIC pada majlis perasmian perhimpunan agung MIC ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Samy Vellu, yang akan bersara pada atau sebelum 30 Sept tahun depan selepas hampir 32 tahun memimpin parti, berkata era kepimpinannya adalah "suatu yang sukar, penuh ujian dan mencabar".

"Terdapat perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat dan kesukaran dalam sektor pendidikan, economi, pekerjaan dan agama sentiasa dikemukakan kepada kami dalam kepimpinan MIC," kata beliau.

Pemimpin utama MIC itu turut membidas individu-individu tertentu kerana memecahbelahkan masyarakat India sehingga membawa kepada pembentukan beberapa parti-parti politik kecil kaum itu.

"Banyak daripada kita sebenarnya bersalah kerana memecahbelahkan kaum India kepada pelbagai kumpulan kecil, tidak penting dan berpecah-pecah yang mendakwa melakukan perjuangan sempit mereka.

Beliau berkata pada satu keadaan, terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang kelihatan memperjuangkan isu-isu pendidikan dan pada masa yang lain, terdapat kumpulan kaum India yang mendakwa mewakili rakyat yang kurang bernasib baik.

Ada juga kumpulan-kumpulan yang dibentuk semata-mata untuk mendapat sokongan politik tetapi gagal mengekalkan kehadiran mereka kerana mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas bagi kaum India, kata beliau.

"Sebagaimana ramai daripada kita suka menafikan kebenaran, pada hakikatnya bahawa di sebalik semua cabaran-cabaran yang dihadapi, MIC terus kekal kukuh, relevan, bersemangat dan merupakan satu-satunya suara masyarakat India," kata beliau.

Samy Vellu kemudiannya mempelawa semua parti-parti politik kaum India untuk bersatu dan bekerjasama dengan MIC.

"Marilah kita bersatu sebagai gerakan kaum India yang padu kerana ini penting untuk melihat Barisan Nasional berjaya mengharungi pilihan raya umum akan datang.

"Tidak mengira betapa berbezanya pendapat kita, marilah kita-sama mengetepikan perbezaan kita dan marilah bekerja bersama-sama dalam faktor kesatupaduan seperti masa depan anak-anak serta kebajikan masyarakat.

"Marilah kita bersatupadu untuk bekerja bersama-sama sebagai satu kumpulan dengan masyarakat lain yang hidup bersama di negara makmur ini," katanya.

Presiden MIC itu berkata sepanjang tiga dekad lepas, MIC telah berjaya mengubah masyarakat India yang mundur menjadi satu kaum yang dihormati di Malaysia.

"Kita telah membina asas bagi anak-anak India Malaysia yang kini mempunyai peluang untuk belajar, bersaing dan mencapai kejayaan dalam bidang-bidang yang mereka minati," katanya.

Bekas menteri kerja raya itu berkata dalam tempoh 30 tahun lepas, beliau telah mengabdikan diri dan semangat hidupnya kepada dan bagi masyarakat, parti dan kerajaan.

"Saya bermula sebagai seorang anggota parti dari bawah dan dengan sokongan para anggota parti, saya bernasib baik untuk memperoleh keistimewaan ini yang diberikan sekali seumur hidup untuk memimpin parti dan masyarakat," kata beliau.

Samy Vellu berkata beliau memutuskan untuk melakukan perubahan dan transformasi yang boleh membawa masyarakat India mencapai apa yang dimiliki orang lain dan pada masa sama membentuk sendiri kehidupan dan masa depan mereka.

Beliau sangat berterima kasih kepada mereka yang membantunya sepanjang masa menerajui parti itu.

"Saya menghargai dan berterima kasih kepada mereka yang sentiasa bersama saya dalam parti dan Barisan Nasional dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya.

"Semoga Tuhan membimbing kita bersama untuk menempa kejayaan bagi rakyat," kata Samy Vellu mengakhiri ucapannya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan