MIC Minta Tubuhkan Makmal Strategik India Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 10 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MIC meminta kerajaan supaya mengenal pasti, membangunkan serta melaksanakan Makmal Strategik India Malaysia dan Bidang Keberhasilan Utama India Nasional (NIKRA).

Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata di bawah NIKRA dan makmal itu, beberapa isu mendesak yang memerlukan perhatian dan pembiayaan akan dapat dikenal pasti.

Katanya salah satu isu yang perlu ditangani bersama ialah masalah pendidikan menyeluruh bagi kaum India dari peringkat prasekolah sehingga peringkat penganjian tinggi.

Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan 3,000 perwakilan pada Perhimpunan Agung ke-64 MIC di Pusat Dagangan Dunai Putra di sini, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu.

Menurutnya kaum India Malaysia juga berhasrat untuk berubah menjadi rakyat berpendapatan tinggi, membangun, kental, serta komuniti yang berdaya saing, yang memerlukan sokongan serta usaha di pihak kerajaan.

"Kami mahukan pertumbuhan harta kaum India pada kadar lima peratus setahun, 15 peratus peluang pekerjaan dalam ekonomi utama dan peluang sama rata dalam kemajuan pendidikan, kemasukan sehingga 10 peratus pelajar dari kaum India dalam fakulti-fakulti utama menjelang tahun 2020," katanya.

Mengulas ucapan Najib ketika merasmikan perhimpunan itu, Samy Vellu berkata: "Ia adalah ucapan yang baik, kandungannya diterima baik oleh perwakilan MIC". Perhimpunan tahunan MIC itu akan mula bersidang pagi Ahad. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan