Jawatankuasa Fatwa K'saan Putuskan Program ESQ Tidak Bertentangan Dengan Akidah

Diterbitkan: Jumaat, 9 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Program motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata program itu juga tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.

Menurutnya muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lepas memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Muzakarah (Jawatankuasa) Fatwa Kebangsaan oleh mufti-mufti seluruh Malaysia telah bersidang sebanyak tiga kali bagi membincang secara terperinci program ESQ," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar Berita Harian, Jumaat, yang memetik Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan teh serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang mengharamkan modul program berkenaan kerana khabarnya didapati bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.

Harussani berkata, pengasas ESQ, warga Indonesia Ary Ginanjar Agustin juga pernah dipanggil menjelaskan beberapa perkara dan perkataan yang kurang jelas dan menimbulkan kekeliruan berikutan buku ESQ yang ditulis dalam Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia.

"Kita (Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan) berpuas hati dengan penjelasan (beliau) bahawa (ESQ) tidak ada kena mengena langsung dengan fahaman liberalisme dan pluralisme," katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu turut menasihati ESQ supaya membentuk panel syariah dan syarikat itu telah melantik beberapa bekas mufti sebagai anggota panelnya.

ESQ menubuhkan panel syariah dan akidah yang diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mustafa Abdul Rahman untuk memantau, menasihati dan menambah baik modul latihannya.

Harussani juga berkata, beberapa mufti turut berjumpa dengan para ulama Indonesia untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai program itu selain Majlis Ulama Indonesia sendiri memperakui program itu tidak bercanggah dengan Islam.

"Modul program (ESQ) baik dalam menyedarkan peserta kepada ketuhanan, Islam dan peradaban," katanya.

Program itu telah disertai 65,000 orang termasuk orang kenamaan, korporat, pegawai kerajaan serta tokoh-tokoh agama serta beberapa orang Mufti.

Sementara itu di Kuala Lumpur, ESQ Leadership Center Sdn Bhd menegaskan, semua dakwaan yang dibuat mengenai amalan-amalan yang dikatakan bertentangan dengan akidah adalah tidak benar.

Menyatakannya secara umum dan tanpa memperincikan setiap dakwaan yang disiarkan dalam akhbar, Jumaat, Pengurus Besar ESQ, Marhani Yusof berkata, mereka akan tetap meneruskan program motivasinya seperti biasa sehingga Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan arahan bertulis atau fatwa berkaitan dengan modul latihan program berkenaan.

Tegas Marhani, lima mufti telah menyatakan sokongan terhadap program motivasi ESQ iaitu Mufti Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

“Semua tuduhan yang dilemparkan kepada kami saat ini adalah tidak benar dan ia fitnah yang amat dahsyat sekali. Kami yakin sepenuhnya dengan Panel Syariah ESQ yang telah meneliti semua program dan modul yang dijalankan.

“Kita telah hantar jawapan kepada Jakim dan mufti-mufti di semua negeri berhubung isu ini," katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific di sini, Jumaat.

Mengulas lanjut Marhani berkata, pihaknya tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana beliau percaya isu tersebut mampu diselesaikan di meja perundingan.

“Sejak Jun 2009 kami telah mula menghantar surat kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh untuk menanyakan pembaikan yang perlu dilakukan setelah melakukan kunjungan hormat ke pejabat beliau.

“Kami masih menunggu dan berharap Majlis Fatwa Kebangsaan akan segera memberikan keputusan berhubung perkara ini kerana ia telah menimbulkan keresahan pada lebih 65,000 ahli kami di seluruh negara,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi Panel Syariah ESQ, Datuk Mustafa Abdul Rahman dan Penasihat Agama Istana Johor, Datuk Noh Gadot.

Sementara itu, Mustafa yang juga Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan berkata Panel Syariah ESQ telah menghadiri dan memantau ESQ Training dari semasa ke semasa.

“Panel juga telah melakukan semakan ke atas buku utama ESQ Edisi Bahasa Malaysia. Setelah meneliti dan mengkaji buku serta latihan ESQ itu, panel syariah telah mengambil tindakan termasuklan mengubahsuai kalimah-kalimah dan ayat-ayat dalam buku berkenaan bagi mengelakkan ia disalah tafsir.

“Latihan modal insan ESQ Training pada masa ini juga adalah selaras dengan kehendak syarak dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Jelas beliau lagi, selepas panel syariah mengikuti perjalanan dan perkembangan ESQ, jawatankuasa itu telah melihat sendiri transformasi positif beberapa syarikat dan individu yang telah menyertai program ESQ Traning.

“Barisan Panel Syariah menyokong penuh perjalanan ESQ Traning di seluruh negara kecuali di Wilayah Persekutuan.

“Kebanyakan para ulama dan mufti di negeri-negeri lain juga bersependapat ESQ boleh dilaksanakan di negeri-negeri berkenaan tanpa sebarang halangan,” katanya.

Mustafa yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan bahawa selagi Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan pekeliling atau surat rasmi yang menghalang pelaksaan ESQ Training, program tersebut tidak patut dipertikaikan.

“Pada 14 April 2010 Panel Syariah ESQ bersama dengan Pengasas ESQ, Dr Ary Ginanjar telah dipanggil untuk memberikan penjelasan kepada Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan atas segala isu yang ditimbulkan berhubung dakwaan unsur-unsur pluralisme, liberalisme termasuk mengingkari mukjizat dalam ajaran.

“Namun sehingga kini, tiada pekeliling atau arahan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkannya. Oleh itu, pelaksanan ESQ Training di 13 buah negeri lain berjalan seperti yang dirancang,” katanya.

Dalam pada itu, Noh Gadot yang juga bekas Mufti Johor turut mempersoalkan tindakan Mufti Wilayah Persekutuan mengharamkan program motivasi anjuran ESQ.

"Seorang mufti perlu ada etika dan disiplin yang perlu diikuti dalam menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

"Ada beberapa etika yaqng sepatutnya menjadi panduan bagi seorang mufti atau ulama ketika bercakap atau menyatakan pandangannya dalam sesuatu isu," ujarnya.

Noh Gadot menegaskan bahawa tugas ulama adalah untuk menyampaikan dakwah dan membimbing ke jalan yang benar dan bukannya menghukum seperti yang terjadi kepada ESQ Training pada hari ini.

"Sebagai ulama kita perlu tegas dalam mencari keadilan. Setiap pandangan yang disampaikan melibatkan orang awam, jadi ulama perlu berhati-hati ketika mengeluarkan pandangan mereka," katanya.

Akhbar Berita Harian turut melaporkan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program motivasi anjuran ESQ kerana mendakwa ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Wan Zahidi menandatangani warta yang mengharamkan modul program motivasi itu pada 10 Jun lalu mengikut subseksyen 34 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan),1993 selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

Mengikut warta yang dikeluarkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 17 Jun lalu, program ESQ yang diasaskan warga Indonesia, Ary Ginanjar Agustin, diharamkan kerana mendukung fahaman yang antara lain didakwa mencampur adukkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan Islam, menekankan konsep suara hati sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik atau buruknya sesuatu perbuatan serta kononnya mengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima akal dan tidak sesuai dengan zaman sekarang.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan