Islamic Cooperative Bank of Malaysia (ICBM) Beroperasi April 2011

Diterbitkan: Jumaat, 9 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Bank pertama milik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Islamic Cooperative Bank of Malaysia (ICBM) dijangka beroperasi pada April tahun depan dengan modal dibenarkan RM400 juta.

Yang DiPertua Angkasa, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata, pihaknya menunggu kerajaan mengeluarkan lesen berikutan penerimaan pelan terperinci penubuhan ICBM yang dikemukakan.

"Angkasa telah mengadakan perbincangan dengan Bank Pembangunan Islam (IDB) yang berpengakalan di Jeddah dan menawarkan 30 peratus saham atau menjadi rakan kongsi ICBM.

IDB dipilih bagi memudahkan ICBM menembusi negara-negara yang menganggotai Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC)," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Seminar Kepenggunaan Dalam Koperasi di sini hari ini.

Menurut Dr Mohd Ali, matlamat ICBM antaranya akan menawarkan modal kewangan kepada kira-kira 556 koperasi kredit di seluruh negara yang meminjam dari bank-bank swasta.

"Koperasi-koperasi yang berjaya menyimpan pula di bank-bank ini dan wang tersebut dipinjamkan pula oleh pihak bank kepada koperasi-koperasi kredit. Angkasa tidak boleh biarkan perkara itu terus berlaku," katanya.

Beliau berkata, ICBM tidak akan menyaingi koperasi-koperasi sedia ada tetapi memberi fokus pada sektor yang membantu ahli-ahlinya seperti perumahan supaya lepas dari bebanan pinjaman bank yang mengambil tempoh panjang untuk dilunaskan.

Sebagai contoh, kajian Angkasa mendapati satu jumlah pinjaman perumahan ICBM dapat diselesaikan selama 23 tahun lebih kecil jumlahnya berbanding jumlah pinjaman sama oleh bank swasta selama 30 dan jumlahnya lebih besar, katanya.

Dr Mohd Ali menambah, penubuhan ICBM bakal memberi manfaat besar kepada lebih 4,200 koperasi dan tujuh juta ahlinya di seluruh negara.

Beliau berkata, Angkasa juga sedang berusaha menggerakkan lebih 2,200 kedai koperasi di seluruh negara termasuk di sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti untuk menjadi pembekal barang kepenggunaan.

Menurutnya, cadangan itu akan dapat membantu kerajaan menangani krisis barangan seperti perbuatan menyorok yang menyebabkan kekurangan bekalan dan kenaikkan harga di pasaran.

Seminar dua hari di sini itu, yang dirasmikan Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Cawangan Kedah Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang juga ADUN Guar Chempedak, dihadiri lebih 200 orang mewakili pelbagai koperasi di Kedah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan