NGO Siap Cadangan Untuk Meja Bulat Mengenai Nasib UPSR Dan PMR - Berita Semasa | mStar

NGO Siap Cadangan Untuk Meja Bulat Mengenai Nasib UPSR Dan PMR

Diterbitkan: Khamis, 8 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan(NGO) sedang menyiapkan cadangan untuk rundingan meja bulat mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 19 dan 27 Julai ini.

Presiden Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata pihaknya akan turut serta dalam perbincangan tersebut jika dijemput.

"Saya menggesa satu penilaian kebangsaan mesti ada terhadap kedua-dua peperiksaan. Saya mencadangkan supaya soalan peperiksaan UPSR dan PMR diubah balik kerana soalan peperiksaan kini lebih tertumpu kepada penghafalan daripada penyelesaian masalah.

"Contohnya kita bagi data dan pelajar gunakan data itu untuk menyelesaikan masalah," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga mengulangi hasratnya supaya pihak terlibat dapat mengurangkan peperiksaan dalaman yang dilihat sebagai punca kemerosotan dalam kedua-dua peperiksaan berkenaan.

"UPSR ada lapan peperiksaan seperti peperiksaan penggal dan sebagainya, kita patut kurangkan jumlah mungkin dalam empat atau lima bagi memastikan pelajar tidak mengalami kemerosotan prestasi akademik," tambahnya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sobri Mohd Arsad berharap fokus diberikan kepada kepentingan pelajar.

"Saya memang menyambut baik perbincangan seperti itu. Melaluinya kita dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pelajar seterusnya ibu bapa boleh berbincang dengan para guru tentang bagaimana mengatasi masalah tersebut," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya aspek rohani dan jasmani pelajar turut diberikan perhatian supaya para pelajar tidak terlalu fokus kepada pembelajaran di dalam kelas.

"Pembangunan rohani mestilah diseimbangkan dengan aspek jasmani...kita tidak boleh terlalu mendesak para pelajar untuk fokus di dalam kelas sehingga mengabaikan aktiviti berbentuk fizikal seperti bersukan dan sebagainya...mereka juga perlu merehatkan minda mereka seketika," katanya.

Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong yang juga pengerusi biro pendidikan parti berkata pihaknya masih mendapatkan pandangan daripada peringkat akar umbi mengenai perkara itu.

"Kita di pihak Pemuda MCA masih mendapatkan pandangan daripada peringkat akar umbi dan kita akan mengumpulkan semua cadangan pada waktu terdekat ini," kata Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye berkata beliau mahu kedua-dua peperiksaan itu dikekalkan.

"Sekiranya saya dijemput, saya akan mencadangkan supaya kedua-dua peperiksaan dikekalkan kerana perlu wujud satu bentuk penilaian bagi mengukur prestasi seseorang pelajar dalam bidang akademik," katanya.

Beliau turut memuji penganjuran forum seperti itu kerana kerajaan boleh mendengar pandangan yang diutarakan oleh semua individu.

"Forum sebegini memang baik di mana pihak kerajaan boleh mendengar pendapat dari pelbagai pihak yang hadir," katanya.

Ketua Pemuda MIC T Mohan berkata beliau sendiri akan menghadiri perbincangan itu sekiranya dijemput oleh Kementerian Pelajaran dan akan membantah pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.

"Saya akan mengusulkan supaya kedua-dua peperiksaan itu diteruskan kerana saya bimbang tiada penilaian yang telus akan dibuat bagi mengukur tahap kecemerlangan seseorang pelajar," katanya.

Beliau berkata biro pendidikan MIC sedang membuat kertas cadangan yang akan dibawa pada persidangan itu nanti.

Presiden Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata beliau akan mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran menyediakan satu alternatif bagi menggantikan kedua-dua peperiksaan.

"Pihak kami akan hadir ke presidangan itu dan pada dasarnya, kita memang bersetuju dengan pemansuhan itu tetapi kita mencadangkan supaya pihak kementerian perlu mewujudkan satu alternatif. Kita tidak mahu ia dimansuhkan tanpa ada cadangan lain," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan