Majikan Gagal Siasat Aduan Gangguan Seksual Boleh Didenda RM10,000

Diterbitkan: Khamis, 8 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majikan yang gagal mengadakan tatacara bagi mengendalikan aduan gangguan seksual, menyiasat aduan dan menyampaikan laporan siasatan kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000.

Perkara itu merupakan bahagian baru yang dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2010 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Bahagian baru itu bermaksud aduan berkaitan dengan gangguan seksual yang dibuat oleh pekerja terhadap pekerja lain, pekerja terhadap majikan, majikan terhadap majikan lain dan majikan terhadap pekerja.

Jika majikan berpuas hati terhadap siasatan dan terbukti ada gangguan seksual, majikan perlu mengambil tindakan disiplin seperti memecat tanpa notis, menurunkan pangkat atau mengenakan hukuman ringan seperti menggantung tidak lebih daripada dua minggu terhadap pekerja yang membuat gangguan seksual.

Menurut rang undang-undang itu, jika aduan gangguan seksual dibuat secara terus kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja, beliau perlu mendalami aduan tersebut dan mengarahkan majikan untuk menyiasatnya.

Laporan kemudian harus diserahkan kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja dalam tempoh 30 hari daripada tarikh arahan dibuat.

Rang undang-undang itu turut memasukkan seksyen baru yang mengkehendaki majikan membayar gaji pembantu rumah terus ke dalam akaun bank pembantu rumah itu, melainkan jika dikecualikan secara bertulis oleh ketua pengarah.

Maznah turut membentangkan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 bagi bacaan kali pertama, bertujuan menaikkan umur minimum kanak-kanak dan orang muda yang boleh diambil bekerja, selaras dengan Konvensyen Umur Minimum 1973 yang telah diratifikasi oleh Malaysia.

Rang undang-undang itu dipinda untuk menggantikan takrif kanak-kanak yang bermaksud seseorang yang belum mencecah umur 15 tahun, dan menggantikan takrif orang muda yang bermaksud seseorang yang belum mencecah umur 18 tahun.

Mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966, takrif kanak-kanak bermaksud seseorang yang belum mencecah umur 14 tahun, manakala orang muda bermaksud seseorang yang belum mencecah umur 16 tahun.

Rang undang-undang itu turut menaikkan jumlah denda dan hukuman penjara terhadap mana-mana pihak termasuk ibu bapa dan penjaga yang membenarkan kanak-kanak dan orang muda bekerja dalam sektor yang tidak dibenarkan.

Hukuman penjara dinaikkan daripada tidak lebih enam bulan kepada setahun, manakala jumlah denda dinaikkan daripada tidak lebih RM2,000 kepada RM5,000.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, hukuman penjara dinaikkan tidak lebih tiga tahun berbanding tidak lebih dua tahun, dan denda tidak lebih RM10,000 berbanding RM3,000. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan