YDP Dewan Rakyat & Negara Akan Terima Kenaikan Elaun - Berita Semasa | mStar

YDP Dewan Rakyat & Negara Akan Terima Kenaikan Elaun

Diterbitkan: Rabu, 7 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dewan negara dan Timbalan Yang Dipertua Dewan akan menerima beberapa kenaikan elaun dan lain-lain faedah di bawah pindaan kepada Akta Ahli-Ahli Parlimen (Ganjaran) 1980.

Menurut kertas statut, antara lain mereka akan menerima beberapa elaun baru dan juga kenaikan dari segi kewangan termasuklah RM10,000 untuk penyelenggaraan rumah dan RM2,500 sebulan untuk membayar pembantu rumah.

Semua elaun baru dan kemudahan tambahan ini berkuatkuasa mulai 1 Mei tahun ini.

Selain dari itu, lain-lain kemudahan yang akan diberikan ekoran pindaan ke atas akta itu ialah, elaun pelantikan (one-off) berjumlah RM10,000 kepada kedua-dua Yang Dipertua Dewan.

Mereka juga akan menerima satu set hidangan makan malam untuk meraikan 50 tetamu yang boleh disimpan sebagai hadiah apabila bersara.

Kedua-dua Yang Dipertua Dewan juga akan menerima kenaikan sehingga 30 peratus ke atas elaun bulanan mereka iaitu kepada RM9,860 daripada RM7,000 yang diperolehi sekarang.

Timbalan Yang Dipertua Dewan juga akan turut menerima elaun pelantikan (one-off) berjumlah RM7,500.

Yang Dipertua kedua-dua dewan dan juga timbalan mereka akan menerima kemudahan PDA bernilai tidak lebih RM3,500 sekali setiap tiga tahun dan juga sebuah kereta rasmi iaitu Proton Perdana V6.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan