MIC Tidak Setuju Cadangan Mansuh UPSR dan PMR - Berita Semasa | mStar

MIC Tidak Setuju Cadangan Mansuh UPSR dan PMR

Diterbitkan: Rabu, 7 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti MIC tidak bersetuju mengenai cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), kata presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu.

Katanya golongan pendidik akan mengabaikan kemajuan anak murid mereka jika kerajaan memansuhkan UPSR dan PMR.

"UPSR adalah peperiksaan penting kerana ia adalah proses pembelajaran masa depan murid di sekolah rendah," katanya kepada pemberita sebelum menyampaikan buku rujukan UPSR kepada wakil sekolah Tamil di sini hari ini.

Samy Vellu berkata beliau telah meminta naib presiden Datuk Dr S. Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia, supaya membangkitkan perkara itu pada mesyuarat Kabinet.

Katanya lebih ramai pelajar berbakat dari sekolah Tamil kini menonjol dalam pencapaian akademik.

"Kita hanya mempunyai 45 pelajar yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran pada 1999 dan bilangan itu meningkat secara mendadak kepada 824 tahun lepas. Kami menjangka lebih 1,000 pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran UPSR tahun ini," katanya.

Samy Vellu berkata MIC akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan standard pendidikan sekolah Tamil sama taraf dengan sekolah aliran lain di negara ini.

Pada majlis itu, beliau mengagihkan buku rujukan percuma kepada wakil sekolah bagi kegunaan 17,214 pelajar Tahun Enam dan 2,000 buah buku panduan guru, kesemuanya bernilai RM588,000. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan