Golongan Tuduh Felda Bankrap Sebenarnya Bankrap Idea Dan Prinsip Perjuangan - Najib

Diterbitkan: Rabu, 7 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SLIM RIVER: Felda telah membuat pelaburan bijak untuk kesejahteraan rakyat dan merupakan sebuah institusi yang berjaya tetapi dituduh bankrap oleh mereka yang sebenarnya bankrap idea, moral dan prinsip perjuangan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, pihak yang mendakwa Felda bankrap telah membuat tuduhan liar yang tidak berasas serta melakukan satu dusta.

"Kita ada RM4 bilion kita labur, bukan joli katak bukan songlap. kita melabur untuk kesejahteraan peneroka," katanya pada pelancaran Hari Peneroka 2010 di perkarangan MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak di Sungkai dekat sini hari, Selasa.

Lebih 10,000 peneroka dari tanah rancangan Felda seluruh negara menghadiri majlis itu yang berupa sambutan Hari Peneroka yang terbesar pernah diadakan.

Perdana Menteri berkata, mereka yang membuat tuduhan itu juga tidak memahami prinsip perakaunan dan perniagaan.

Beliau berkata, pembangunan Felda adalah warisan perjuangan pusaka tetapi cuba dihina, difitnah dan dicemari imejnya.

"Tak bankrap...bukan Suara Keadilan yang tentukan," katanya sambil disambut dengan teriakan peneroka yang melaung supaya Felda meneruskan saman RM200 juta terhadap akhbar Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyiarkan laporan mendakwa Felda bankrap sebelum ini. Perdana Menteri berkata, Felda akan meneruskan tindakan mahkamah menyaman Suara Keadilan dan beberapa pemimpin pembangkang berhubung tuduhan berkenaan.

"Hari ini suara perhimpunan hendak kita teruskan...kita jumpa di mahkamah," katanya sekali lagi disusuli tepukan gemuruh.

Najib berkata, Felda kini mempunyai wang tunai sebanyak RM1.3 bilion dan ini tidak termasuk wang yang terdapat dalam beberapa anak syarikatnya.

"Nak kata apa bankrap...Felda sahaja ada RM1.3 bilion tunai. Felda labur dalam saham dan membelinya pada harga RM844 juta, hari ini dah naik lima kali ganda. Boleh kata kita bankrap?," katanya.

Perdana Menteri, saham-saham yang dibeli Felda adalah daripada syarikat besar seperti MISC dan Maybank yang tersenarai di Bursa Malaysia dan jika dijual sekarang boleh memperoleh RM4.6 bilion.

Menurutnya, ladang-ladang yang dimiliki Felda jika dijual dengan nilai konservatif ladang komersial adalah berharga RM10 bilion.

Beliau menjelaskan Felda merancang pembangunan untuk jangka panjang dan telah membuat pelaburan di Amerika Syarikat dan Kanada bagi menembusi pasaran global dalam usaha meningkatkan pemasaran produk di peringkat antarabangsa yang akan membantu meningkatkan lagi harga sawit.

Katanya, Felda juga telah membelanjakan RM2.4 bilion untuk tanaman semula.

"Kalau pokok dah tua mana nak keluar buah (sawit) atau susu (getah)," katanya.

Mengenai projek pembinaan Menara Felda yang baru, beliau berkata tanah yang dibeli bagi projek itu kini kalau dijual pun sudah mendapat untung yang banyak.

"Kita kalau nak buat bangunan tak kan nak buat di Kampung Keramat atau Kampung Baru (di Kuala Lumpur)...kita buat di sebelah Menara Berkembar Petronas," katanya.

Najib sekali lagi menarik perhatian hadirin apabila bertanya sama ada seseorang yang bankrap boleh membayar zakat.

"Kalau bankrap boleh tak bayar zakat tak wajib bayar zakat...Felda membayar zakat RM26 juta tahun lepas kepada kerajaan-kerajaan negeri," ujarnya.

Beliau berkata, mereka yang menuduh Felda bankrap sebenarnya bankrap idealisme dan moral.

Katanya, wakil rakyat mereka pun tinggalkan parti, setiausaha agung pun tinggalkan parti kerana parti itu bankrap prinsip dan perjuangan.

Perdana Menteri kemudian merasmikan MRSM Felda serta mengiystiharkan nama baru MRSM termoden dan tercanggih yang bernilai RM120 juta sebagai MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan