Tidak Adil Persoalkan Tugas Polis Dalam Siasatan Kes Raja Petra - Hishamuddin

Diterbitkan: Selasa, 6 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan mempersoalkan tugas polis dalam siasatan berhubung kes penulis blog Raja Petra Kamaruddin adalah tidak adil, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan sewajarnya dalam menyelesaikan kes tersebut termasuk berjumpa dengan pihak Metropolitan Police di United Kingdom.

"Agensi-agensi risikan telah berjumpa dengan rakan sejawatan mereka. Wisma Putra pun dah jumpa secara dua hala dan diplomasi dengan pihak United Kingdom. Tapi dalam tindakan sebegini memerlukan kerjasama kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini pada Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Barisan Nasional Khairy Jamaluddin semalam yang mendakwa kegagalan pihak polis mengambil sebarang tindakan terhadap Raja Petra menunjukkan mereka seolah-olah tidak serius menangani isu berkenaan.

Hishammuddin berkata, setiap negara mempunyai dasar dan pendirian masing-masing dan Malaysia menghormati pendirian tersebut.

Namun, sekiranya pendirian dan dasar negara berkenaan tidak mengizinkan seseorang itu kembali, atau membawa pulang mereka untuk berhadapan dengan tindakan dan keadilan, kita perlu melihat kepada pilihan lain yang ada, katanya.

"Saya perlu periksa dengan pihak berkuasa UK. Kami telah lakukan ini sejak sekian lama dan kami tahu mengenai semua perkara yang kami nyatakan semalam.

Malahan (tindakan) ekstradisi, anda perlukan kerjasama pihak yang berkenaan... perkara ini diuruskan sebaik yang kami mampu lakukan.

"Nak masuk ke negara ketiga, kidnap (culik), seludup keluar macam pengganas? Tak mungkin..itu bukan cara kita di Malaysia. Jadi saya rasa tuduhan kepada PDRM itu tak adil," katanya.

Beliau berkata, yang penting adalah memberi perhatian dan menjawab segala fitnah yang ditabur Raja Petra, dan bukan menuduh pihak berkuasa tidak melaksanakan tugas mereka. Sementara itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan mengemukakan bukti bahawa parti itu membiayai Raja Petra selain mahukan bukti mengenai dakwaan bekas setiausaha sulitnya, Anuar Shaari sama ada PKR turut menaja sebuah portal propembangkang yang dijadikan medan oleh Raja Petra menyerang kerajaan dari luar negara.

Beliau juga mempersoalkan mengapa pihak polis 'baru' hendak mencari di mana Raja Petra sedangkan penulis blog itu telah muncul di khalayak ramai di London dan semua orang tahu di mana Raja Petra menetap ketika ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan