Tajaan Biasiswa JPA Diteruskan - TPM

Diterbitkan: Selasa, 6 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih meneruskan penajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara pada peringkat ijazah pertama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penajaan biasiswa itu memberi fokus kepada bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, sains perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi dan sains sosial.

"Ini kerana tenaga sumber manusia dalam bidang tersebut amat diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini, Selasa.

Program penajaan JPA terdiri daripada dua bahagian iaitu Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN). Untuk PILN, kerajaan menyediakan sebanyak 1,500 biasiswa untuk lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan cemerlang dalam sembilan mata pelajaran.

Permohonan PILN telah dibuka melalui laman web JPA di www.jpa.gov.my mulai 11 hingga 17 Mac lepas.

Penawaran biasiswa berdasarkan empat kriteria utama iaitu pencapaian akademik, penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum, sosio ekonomi/latar belakang keluarga dan prestasi temuduga.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, JPA telah menerima sebanyak 18,844 permohonan untuk PILN 2010 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,956 permohonan diterima daripada kalangan calon yang melepasi kelayakan minimum yang ditetapkan mengikut bidang pengajian.

Seramai 465,853 calon menduduki SPM pada tahun lepas berbanding 442,936 pada tahun 2008.

Beliau berkata, kursus perubatan dan kejuruteraan menjadi pilihan manakala negara pengajian pilihan majoriti calon ialah United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand.

Beliau berkata sebanyak 847 tempat disediakan bagi kursus kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi di pelbagai negara seperti Australia, New Zealand, India, Republik Czech, Poland dan program berkembar di Kolej Perubatan Pulau Pinang, Kolej Perubatan Manipal Melaka dan Universiti Perubatan Antarabangsa manakala 410 tempat pula disediakan bagi kursus kejuruteraan di Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

Semasa keputusan PILN diumumkan pada 21 Mei lepas, 59 pelajar telah menolak tawaran biasiswa JPA manakala 4,298 rayuan diterima di mana sebanyak 1,218 rayuan terdiri daripada calon yang mendapat 9A+, katanya.

Muhyiddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan cadangan penambahan sebanyak 250 penajaan di bawah PILN menjadikan bilangan penajaan meningkat kepada 1,750.

Bagi Program Ijazah Dalam Negara(PIDN) pula, sebanyak 100 penajaan disediakan kepada lepasan SPM bagi mengikuti pengajian ke empat buah universiti penyelidikan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Di samping itu, katanya, sebanyak 1,900 penajaan telah ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang tidak terpilih di bawah PILN untuk mengikuti pengajian ke IPT tempatan dan kampus cawangan terpilih seperti Universiti Nottingham dan Universiti Monash dalam bidang kritikal dan strategik.

Muhyiddin berkata, pelajar terpilih akan ditaja di peringkat matrikulasi, asasi, pra-universiti dan seterusnya ke peringkat ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik yang ditetapkan semasa di peringkat kursus persediaan.

Bilangan pelajar yang ditawarkan penajaan untuk kedua-dua program termasuk pemohon yang mendapat sekurang-kurangnya A+ dalam sembilan matapelajaran, katanya.

Tambahnya, bagi menampung kos pengajian pelajar seramai 3,750 pelajar, kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.96 bilion pada tahun ini.

Bagi pelajar lepasan SPM yang tidak ditawarkan sebarang penajaan di bawah PILN, mereka masih berpeluang memohon penajaan di bawah PIDN sekiranya ditawarkan tempat di peringkat diploma atau Ijazah Pertama di IPT tempatan. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan