Tiada Cadangan Mansuhkan Pasukan Gerakan Am - Abu Seman

Diterbitkan: Isnin, 5 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, ia berikutan tugas dan tanggungjawab pasukan itu sama seperti anggota polis dalam jabatan atau pasukan lain di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

"Sebagai salah satu komponen dalam PDRM, PGA masih relevan dalam menjaga keselamatan awam. Mereka juga sama seperti anggota polis lain yang boleh ditempatkan di mana-mana jabatan, bahagian atau pasukan dalam PDRM," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang ingin tahu jumlah tenaga PGA serta adakah kerajaan bersedia menamatkan pasukan itu dan menyerapkannya dalam pasukan lain untuk membanteras jenayah.

Abu Seman berkata, PGA yang dahulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PHH) kini mempunyai kekuatan seramai 12,746 pegawai dan anggota.

Beliau berkata, pada masa ini pasukan itu ditugaskan untuk mencegah penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin terutama di sempadan negara, membanteras rompakan di laut dan mengawal keselamatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Malaysia-Thailand serta Sarawak, dan Malaysia-Kalimantan, Indonesia.

"Mereka juga terlibat membuat kawalan keselamatan orang kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa dan kawasan strategik lain, serta terlibat dalam operasi semasa krisis atau bencana. PGA juga ditugaskan untuk mencegah jenayah di kawasan panas di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya.

Menjawab soalan Ir Hamim Samuri (BN-Ledang) mengenai usaha memastikan PGA benar-benar boleh memberi sumbangan untuk menurunkan kadar jenayah di kawasan hitam ke tahap terendah, Abu Seman berkata, tugas yang dipertanggungjawabkan kepada PGA di kawasan itu adalah membuat rondaan.

"PGA ada latihan asas polis berkaitan undang-undang, disiplin, kegunaan senjata api dan sebagainya. Sudah tentu tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan baik," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan