PM Rasmi MRSM Felda Ulung Rabu Ini

Diterbitkan: Isnin, 5 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SLIM RIVER: Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) yang terletak di Feldajaya Utara Trolak, Sungkai, dekat sini, menjadi lambang kemegahan warga peneroka tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Institusi bernilai RM105 juta yang dibina di atas tapak seluas 25 hektar itu merupakan MRSM terbesar dan termoden di negara ini serta institusi pendidikan pertama dalam kawasan tanah rancangan Felda.

Sebanyak 80 peratus daripada kira-kira 1,200 pelajarnya adalah anak-anak peneroka Felda dari seluruh negara.

MRSM Felda akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu ini.

"Ia akan menjadi mercu tanda keprihatinan Felda dalam menyediakan kemudahan pembelajaran untuk generasi muda dengan kemudahan serba lengkap dan moden," kata Najib semasa merasmikan majlis pecah tanah pembinaan institusi itu pada Oktober 2007.

Pembinaan MRSM Felda merupakan maktab yang ke-37 ditubuhkan oleh Mara itu adalah atas cetusan minda Perdana Menteri sendiri.

Ekoran saranan Najib itu, termeterai satu perjanjian yang diberi nama Perjanjian Kerjasama Antara Mara dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 30 Mac 2007 dan MRSM Felda itu merupakan MRSM yang kelima dibina di Perak.

Projek berkenaan siap sepenuhnya pada 2009 tetapi pengambilan pertama 200 pelajar perintis dibuat pada 2008 yang ditempatkan sementara di beberapa MRSM lain.

MRSM Felda menerima kemasukan penuh pelajar mulai Januari tahun ini.

MRSM Felda mulai Rabu ini juga akan diberi nama baru yang lebih bermakna dan gah iaitu Kolej Tun Abdul Razak.

Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata ia dinamakan sempena nama pengasas Felda yang juga Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai mengenang jasa besar negarawan itu.

Felda menampung perbelanjaan bagi pengurusan dan kemudahan fizikal seperti bangunan dan kelengkapan yang sesuai mengikut spesifikasi Mara di samping membayar elaun pelajar daripada kalangan anak Felda, menyediakan bahan pengajian serta bahan-bahan makmal.

Penubuhannya bertujuan memberi peluang kepada anak peneroka Felda untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka serta menggalakkan pertumbuhan masyarakat yang maju, produktif dan lebih berdisiplin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan