PRS Bertekad Tawan Semula Kerusi Ngemah

Diterbitkan: Ahad, 4 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANOWIT: Setelah berjaya mengatasi pergolakan yang dialaminya sejak sekian lama, Parti Rakyat Sarawak (PRS) kini bukan sahaja memperoleh nafas baru, malah merupakan sebuah parti politik berasaskan masyarakat Dayak yang semakin kuat pengaruhnya.

Susulan kepada persidangan perwakilan tiga tahun sekali yang berlangsung di Bintulu pada April, parti berkenaan nampaknya telah berjaya membuang jauh episod hitam masa lampaunya di mana krisis kepimpinan telah nyaris-nyaris menguburkan parti itu.

Malah, kini PRS menggunakan tangkai padi sebagai logo barunya, yang dianggap lebih sesuai bagi mencerminkan jalur perjuangan politiknya, bagi menggantikan "terabai" (perisai pahlawan masa silam) yang digunakan sebelum ini.

Pada persidangan perwakilan itu, pemimpin veteran dan Menteri Pembangunan Tanah negeri Datuk Seri Dr James Jemut Masing tidak dicabar oleh sesiapa untuk terus menerajui parti berkenaan.

Walaupun PRS kini semakin kukuh, lebih bersemangat serta stabil dan dihormati, namun dua cabaran besar bakal menantinya pada pilihan raya negeri akan datang.

Pada pilihan raya berkenaan, selain mempertahankan lapan kerusi luar bandar yang disandangnya sekarang, PRS berazam untuk merampas kembali kerusi Ngemah yang terlepas daripada genggamannya sebelum ini.

Seperti parti komponen Barisan Nasional (BN) lain, PRS juga berdepan dengan cabaran daripada Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan calon Bebas.

"Mungkin, kami juga akan berdepan dengan PAS... terdapat kaum Iban dalam parti itu sekarang," kata ketua publisiti PRS Wilson Nyabong.

Bagaimanapun, PRS lebih memberi tumpuan kepada kerusi Ngemah dan Pelagus bagi membuktikan kekuatannya.

Kini, Ngemah diwakili Gabriel Adit Demong, yang lebih dikenali sebagai "Kunchit beragum" (murai berjanggut) dalam kalangan penyokongnya.

Pada 2006, beliau bertanding atas tiket Bebas dan mengalahkan calon PRS Alexander Vincent dengan kelebihan 549 undi. Kini, beliau menjadi pengerusi PCM setelah parti itu menjadi sekutu kepada PKR negeri.

Bagaimanapun, kali ini, Adit, 60, akan mendapati gunung yang menantinya lebih sukar untuk didaki dan lorong yang bakal dilaluinya lebih banyak onak dan duri jika beliau semata-mata bergantung pada prestasi masa lampaunya, termasuk sebagai wakil rakyat BN selama dua penggal.

Seorang bekas penyokong beliau, ketua rumah panjang Lembat anak Itau dari Pidai berkata, banyak pihak kini amat kecewa dengan Adit.

"Kebanyakan kami terpedaya dengan propaganda bahawa Adit, yang bertanding atas tiket Bebas ketika itu, akan diterima menyertai BN sekiranya beliau menang.

"Kini, penggal semasa Dewan Undangan Negeri hampir berakhir. Sudahlah tidak menyertai BN, beliau asyik melompat dari satu parti pembangkang kepada satu parti pembangkang lain. Apa yang paling menyakit hati ialah kami, dari lebih 100 rumah panjang di kawasan ini, telah terpinggir daripada projek dan rancangan pembangunan kerajaan," katanya.

Lembat berkata sebelum ini, Pidai, Jih, Ulu Tuah, Bawan dan beberapa tempat lain merupakan kubu kuat Adit.

"Sekarang, anda dapat saksikan sendiri kami memasang bendera PRS/BN. Kami ada jalan yang menghubungkan ke pusat bandar. Kebanyakan kami, terutama yang tinggal berdekatan dengan Jalan Senibong-Tada, sudah mendapat bekalan air yang dirawat. Kami amat berharap akan mendapat bekalan tenaga elektrik pula.

"Kami yakin hanya BN yang boleh memberi ini kepada kami. Oleh itu, pada pilihan raya kali ini, BN boleh mengharapkan undi kami.

"Kami harap Alexander akan dibenarkan mewakili kami. Kami lebih mengenali beliau sekarang," katanya.

Ketua rumah panjang Brain anak Langit, 33, dari kawasan Ulu Jih, yang juga Ketua Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) kawasan Ngemah, pula berkata beliau yakin inilah masa paling sesuai bagi BN untuk mengetepikan Adit.

"Barangkali, PRS patut menamakan calonnya sekarang agar kami boleh memberi fokus untuk membantunya meraih kemenangan.

"Pada pilihan raya lepas, Alexander menjadi mangsa perbuatan khianat. Ada individu tertentu dalam PRS sendiri, yang tidak puas hati kerana mereka dipinggirkan, telah berkempen menentang beliau," kata ketua rumah panjang itu.

Mengenai kerusi Pelagus pula, Nyabong berkata "ia adalah kerusi tradisi PRS dan oleh itu perlu terus menjadi miliknya."

"Memanglah, penyandang selama dua penggal yang ada sekarang, Larry Sng Wei, adalah seorang menteri muda. Beliau berada di situ kerana parti dan pengundi. Tapi, apabila sudah tamat penggalnya, beliau perlu berundur kerana beliau bukan anggota parti ini," kata Nyabong.

Nyabong berkata PRS telah menjelaskan perkara itu kepada pengundi di Pelagus dan mereka menerimanya.

"Kami beritahu mereka bahawa kami ada calon bagi menggantikan Sng. Mereka juga berikrar akan hanya menyokong calon BN pada pilihan raya akan datang," katanya.

Seorang pegawai kanan PRS berkata parti itu telah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua calon selain Alexander untuk bertanding bagi kerusi Ngemah dan dua calon bagi kerusi Pelagus.

"Bagi Ngemah, adalah seorang pegawai kanan kerajaan berkelulusan PhD. Semua orang tahu perkara kini. Seorang lagi adalah guru berijazah," katanya.

Sementara itu, ketika PRS giat mengatur perancangannya, ada pihak yang tidak berpuas hati di Ngemah berkata seorang ahli perniagaan berminat untuk menawarkan diri sebagai calon Bebas pada pilihan raya negeri akan datang. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan