Perhimpunan Kedua GAS Yang 'Diganggu' Penyokong MIC Berakhir Awal - Berita Semasa | mStar

Perhimpunan Kedua GAS Yang 'Diganggu' Penyokong MIC Berakhir Awal

Diterbitkan: Ahad, 4 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) mengadakan perhimpunan keduanya hari ini di Dewan Dato’ Hamza di sini, namun berakhir lebih awal selepas berlaku pergelutan dengan kehadiran penyokong-penyokong MIC.

Perhimpunan berkenaan dihadiri kira-kira 350 penyokong GAS pada 2 petang tadi bagi mendesak Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu meletakkan jawatan.

Turut hadir, perhimpunan GAS yang diketuai pemimpin-pemimpin yang dipecat iaitu V. Mugilan, K. P. Samy dan G. Kumar Aamaan.

Bagaimanapun, perhimpunan berkenaan diganggu oleh satu kumpulan daripada penyokong-penyokong MIC menyebabkan majlis berkenaan berakhir lebih awal.

Mereka terdiri daripada lebih 30 pemimpin MIC yang merupakan penyokong kepimpinan Samy Vellu yang membuat ‘kacau’ sehingga menjejaskan perjalanan perhimpunan itu.

Keadaan itu telah menimbulkan ‘pertikaman lidah’ antara kumpulan itu dan penganjur di dalam Dewan Dato’ Hamzah sehingga mencetuskan pergelutan.

Kehadiran polis memastikan keadaan terkawal dan atas nasihat mereka kepada penganjur, perhimpunan berkenaan berakhir pada pukul kira-kira 3 petang.

Perhimpunan kedua GAS sepatutnya dijadualkan pada 13 Jun lalu, namun terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.

Perhimpunan pertama gerakan itu telah dilakukan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa (MIECC) pada 30 Mei lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan