Dedah Bersyarat - Zaid

Diterbitkan: Ahad, 4 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim meletakkan syarat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein jika mahu beliau menjelaskan mengenai hubungannya dengan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Zaid berkata, beliau hanya akan membuat penjelasan mengenai perkara berkenaan jika ia dilakukan di tempat terbuka yang boleh disaksikan oleh orang awam.

"Hishammuddin mahu supaya saya membuat penjelasan... saya sedia untuk itu jika beliau mahu bertemu saya.

"Tapi saya mahu pertemuan itu di buat di tempat awam," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Zaid berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Hishammuddin bahawa beliau mempunyai 'kewajipan moral' untuk menjelaskan mengenai hubungannya dengan Raja Petra.

Bagaimanapun Hishammuddin berkata, Zaid tidak terikat dengan peruntukan undang-undang sama ada mahu membuat penjelasan ataupun tidak.

Selain itu menurut Zaid yang juga bekas calon PKR bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor berkata, beliau mahu pertemuan itu diadakan di tempat terbuka bagi memastikan orang awam mendapat maklumat secara terus.

"Masyarakat boleh dengar maklumat terus daripada saya," katanya.

Baru-baru ini Zaid sendiri mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan Raja Petra di United Kingdom.

Malah Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim juga mendedahkan Raja Petra pernah menerima RM470,000 dan pernah menginap di Hotel Britannia, Manchester bersama-sama Zaid pada 1 Oktober hingga 4 Oktober tahun lalu.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui web Malaysia Today.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan