Zaid Bertanggungjawab Jelaskan Hubungannya Dengan Raja Petra - Hishammuddin

Diterbitkan: Sabtu, 3 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU TERENGGANU: Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya Datuk Zaid Ibrahim bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat apa hubungannya dengan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jika Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, seorang yang bertanggungjawab, beliau akan memberi penjelasan terhadap persoalan itu.

"Kita memang tertanya-tanya, dalam pada kita tercari-cari di mana Raja Petra, semalam kita lihat gambar Zaid bersamanya, jadi siapa sebenarnya di belakang Raja Petra?

"Raja Petra di luar negara memburuk-burukkan negara dan menyerang peribadi pemimpin, kalau ada bukti tak apa. Tapi dalam blognya cakap macam-macam. Bila ada pemimpin tertinggi pembangkang bersama mereka, kena jelaskan apa hubungan mereka dengan Raja Petra," katanya.

Hishammuddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Raja Petra menghilangkan diri daripada dihadapkan ke muka pengadilan selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui web Malaysia Today.

Hishammuddin berkata pihak berkuasa tidak mempunyai laporan bagaimana Raja Petra ke luar negara sedangkan pasportnya telah diserahkan.

"Apa pasport yang dia guna pun kita tak tahu. Kalau nak bawa dia balik dari England pun, kita kena bekerjasama dengan polis UK (United Kingdom) tapi sekarang ni jelas mereka tidak akan bekerjasama dengan kita," katanya.

Katanya pada masa ini masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terhadap Zaid.

"Tetapi, daripada segi politik, moral dan perundangan, dia (Zaid) perlu beri penjelasan kepada kita," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan