Umno Terengganu Perlu Jadikan Iktibar Pengalaman Tewas Kepada PAS

Diterbitkan: Sabtu, 3 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU TERENGGANU: Umno Terengganu perlu menjadikan pengalaman pernah tewas kepada PAS sebelum ini sebagai iktibar supaya ia tidak lagi berulang.

Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Umno Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penyatuan yang dilihat dalam Umno Terengganu hari ini perlu diterjemahkan dalam gerakan menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Perpaduan yang ditunjukkan Umno Terengganu kini amat baik tetapi ia tidak cukup kalau tidak diterjemahkan kepada satu gerakan yang boleh bantu Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya nanti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini, sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Katanya berbanding negeri lain, Terengganu dilihat paling berpengalaman kerana pernah tewas dan berjaya merampas kembali pimpinan negeri daripada parti pembangkang.

"Inilah masanya kita kena kerja lebih kuat, menilai kelemahan sendiri dan ini masanya untuk kita berubah. Bila kita sudah rampas kembali Terengganu, pengalaman dulu harus dijadikan iktibar untuk kita buat transformasi supaya keadaan pahit itu tidak berulang," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keadaan sukar itu juga akan melahirkan pemimpin yang benar-benar ikhlas dan meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan diri.

Beliau berkata pada masa ini Umno Terengganu berada dalam keadaan stabil dan tidak berpecah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata usaha menarik anggota parti baru dan menambah bilangan pemilih berdaftar yang dijalankan Umno negeri khususnya Umno bahagian Hulu Terengganu amat memberangsangkan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan